Ahmad Said (empat dari kanan) menerima replika cek pembayaran dividen dan keuntungan usahasama daripada Mohd. Roslan Awang Chik (tiga dari kanan) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam.
Syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri, TDM Berhad membayar RM28.81 juta dalam bentuk dividen dan keuntungan usaha sama bagi tahun 2010 kepada kerajaan negeri dan agensi lain.
Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Badrul Hisham Mahari berkata, daripada jumlah itu, dividen RM20.4 juta dibayar kepada Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. dan RM5.41 juta kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Permint).
Menurutnya, agensi kerajaan negeri, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) masing-masing menerima keuntungan usaha sama berjumlah RM2.86 juta dan RM136,553.
"Pembayaran dividen kali ini adalah yang terbesar pernah dibuat selaras dengan komitmen TDM untuk memberi ganjaran yang lumayan kepada pemegang saham jangka panjangnya.
"Dengan pembayaran ini, TDM setakat ini telah membayar sejumlah RM81.8 juta dalam bentuk dividen dan keuntungan usaha sama kepada kerajaan negeri sejak bayaran pertamanya pada 2007," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek oleh Pengerusi TDM Berhad, Datuk Mohd. Roslan Awang Chik kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman.
Tambah Badrul, pembayaran berkenaan adalah selari dengan prestasi memuaskan yang dicapai TDM pada tahun lalu terutamanya dalam sektor perladangan dan penjagaan kesihatan.
"Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-46 baru-baru ini, TDM telah mengisytiharkan bayaran dividen lebih tinggi sebanyak 13.5 sen bagi setiap syer biasa di akhir tahun kewangan 31 Disember 2010, berbanding 12 sen pada tahun 2009," katanya.
Sementara itu, Badrul memaklumkan, TDM bakal menikmati hasil peringkat pertama projek penanaman sawit melibatkan kawasan seluas 4,000 hektar di Kalimantan Barat, Indonesia pada pertengahan tahun depan.
Katanya, projek yang bermula pada akhir tahun 2009 itu melibatkan kawasan keseluruhan seluas 20,000 hektar dan fasa seterusnya akan bermula tidak lama lagi.
"Kita jangkakan pada tahun 2016, baki tanah yang belum dibangunkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.
No comments:
Post a Comment