Thursday, June 23, 2011

Kerajaan Negeri Pastikan Mangsa Ribut DiBantu

Sebuah kanopi diterbangkan ribut dan menghempap Pusat Khidmat Masyarakat, Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, kerajaan negeri akan memantau kesan kejadian ribut di negeri ini dari semasa ke semasa ekoran cuaca yang tidak menentu.

Selain itu kerajaan negeri akan memastikan mangsa yang terlibat mendapat pembelaan sewajarnya.

Justeru katanya, pihak yang terlibat sama ada rumah persendirian, masjid, surau, pusat komuniti atau balai raya dinasihatkan membuat laporan kepada wakil rakyat atau pegawai pembangunan DUN di kawasan masing-masing.

Ia agar maklumat itu dapat direkodkan, katanya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sejauh ini menerima lebih 1,000 permohonan untuk membaiki rumah dan struktur binaan yang musnah akibat dipukul ribut yang melanda beberapa daerah pada malam Sabtu lalu.

Pengarahnya, Zuhaimi Omar berkata, pihaknya sedang meneliti permohonan itu dan daerah ini mencatatkan bilangan terbanyak kerana ia merupakan daerah paling teruk terjejas.

Menurutnya, JKM akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Pejabat Pegawai Pembangunan DUN serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi tujuan itu.

“Bagaimanapun, pemimpin setempat terutamanya wakil-wakil rakyat di kawasan terlibat telah mengambil inisiatif awal untuk mengagihkan bantuan seperti wang tunai, atap dan simen kepada mangsa terlibat,” katanya di Kuala Terengganu ,semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati antara kawasan terlibat di daerah Kuala Terengganu ialah Gong Badak, Tepuh, Manir, Seberang Takir, Batu Buruk, Wakaf Mempelam dan Losong.

Tambah Zuhaimi, selepas kejadian itu, beberapa laluan utama di daerah Kuala Terengganu seperti di Jalan Buluh Gading, Jalan Pulau Bahagia dan sekitar Batu Buruk ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan.

“Kita juga menerima laporan bencana alam itu turut memusnahkan kebun penduduk seperti tanaman pisang dan tebu serta ternakan ayam menyebabkan ada antara mereka mengalami kerugian besar,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment