Monday, June 20, 2011

Terengganu juara tilawah al-Quran selepas 13 tahun

Setelah 13 tahun tidak merangkul piala pusingan pada Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan, Terengganu akhirnya menamatkan kemarau itu setelah dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada edisi ke-54 di Kuching, Sarawak, kelmarin.

Kejayaan itu dirangkul Ahmad Tirmizi Ali, 26, dan Norhidayah Abdul Rahman, 20, yang muncul sebagai pemenang tempat ketiga dan keempat bagi kategori qari dan qariah terbaik pada tilawah itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kemenangan itu secara tidak langsung membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam melahirkan tokoh agama pada masa depan.

"Saya bersyukur kerana Terengganu bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan sukan, tetapi juga cemerlang dalam bidang keagamaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut kepulangan rombongan peserta Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu malam semalam, daripada menyertai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak, tempoh hari.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat serta Timbalannya, Muhammad Ramli Nuh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd. Rozali Salleh.

Qari, Ahmad Tarmizi bagaimanapun tidak dapat turut serta kerana isterinya sedang sakit.

Dalam pada itu, Norhidayah ketika ditemui memberitahu, kejayaan membawa pulang piala pusingan itu memberi perangsang kepadanya untuk terus berusaha memajukan diri dalam bidang berkaitan agama.

"Ini kali kedua saya menyertai tilawah peringkat kebangsaan dan syukur Alhamdulillah, kejayaan ini begitu bermakna walaupun secara peribadi saya cuma mendapat tempat keempat," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong itu.

No comments:

Post a Comment