Monday, June 13, 2011

Terengganu Ketengah Kesenian Tradisional Di Bazar Warisan

Produk kesenian tradisional negeri Terengganu yang ada di antaranya telah dilupakan generasi baru, kini dipamerkan di Bazar Warisan, di Kuala Terengganu.

Pegawai Kebudayaan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu, Rahayu Normani Ismail berkata pihaknya menganjurkan Pusat Tarian Setempat yang mengetengahkan kesenian dan kebudayaan negeri itu pada setiap Sabtu bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.

"Pelbagai aktiviti menarik diadakan, antaranya tarian tradisional, permainan rakyat, pertandingan dam haji, pertandingan dam ular, gusti lengan dan juga persembahan wayang kulit.

"Selain itu turut dipamerkan persembahan silat kura-kura, kertuk ulu, rodat dan persembahan nyanyian daripada artis-artis Terengganu," katanya hari ini.

Jelas beliau, langkah yang diambil itu bertujuan untuk menarik minat orang ramai terutama generasi muda untuk mengekalkan seni kesenian tradisional warisan generasi terdahulu.

"Ia juga sebagai tarikan kepada pelancong tempatan dan asing untuk mengenali lebih dekat seni dan kebudayaan Terengganu yang pelbagai," katanya.

Katanya pusat itu juga menjadi platform untuk penggiat seni mengetengahkan bakat kesenian mereka.

Pusat Tarian Setempat diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment