Monday, June 13, 2011

Pelan Strategik Tingkat Syiar Islam Di Terengganu

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) akan melancarkan pelan strategik lima tahun untuk mencapai hasrat meningkatkan segala aspek berkaitan agama Islam di negeri itu.

Pesuruhjaya JHEAT negeri, Mohd Rozali Salleh berkata bagi tempoh tahun ini hingga 2015, JHEAT akan tingkatkan segala aspek keagamaan seperti dakwah, unit kekeluargaan, pendakwaan, penyelidikan halal dan haram dan lain-lain yang berkaitan dengan keagamaan.

"Kalau kita dapat melaksanakan semua aspek berkenaan dengan baik dan bagus, sudah tentu ia akan meningkatkan syiar Islam itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika menghantar Qari dan Qariah Terengganu yang akan menyertai tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Sarawak mulai malam ini hingga Selasa di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Pada tilawah peringkat kebangsaan itu Qari Terengganu akan diwakili Ahmad Tarmizi Ali dari Dungun manakala Qariah Nur Hidayah Abdul Rahman dari Setiu apabila kedua-dua muncul johan pada tilawah peringkat negeri yang diadakan bulan lepas.

Mohd Rozali berkata, dalam tempoh itu pelbagai langkah akan diambil bagi mencapai matlamat yang ditetapkan itu.

Sementara itu beliau berkata, JHEAT akan memberi perhatian serius terhadap kejayaan anak Terengganu di bidang keagamaan yang sebelum ini agak terlepas pandang seperti kejayaan dalam Tilawah Al-Quran.

"Kita akan menghargai kejayaan mereka dalam bidang agama seperti Tilawah Al-Quran ini kerana sebelum ini kejayaan dalam bidang agama seolah-olah dipinggirkan," katanya.

Mengenai wakil Terengganu ke tilawah peringkat kebangaaan itu, beliau yakin peserta negeri itu mampu memperdengarkan bacaan yang baik seterusnya memperoleh kejayaan.

No comments:

Post a Comment