Terengganu buat julung kali bakal menjadi pentas pusingan akhir kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 yang akan disaksikan di seluruh dunia.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, mesyuarat majlis lumba basikal dan LTdL baru-baru ini memutuskan pusingan terakhir kejohanan berprestij itu dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Terengganu pada LTdL edisi akan datang.
Dengan perubahan lokasi pusingan akhir itu, lokasi perlumbaan akan turut membabitkan Pekan, Pahang ke Kemaman, Terengganu sebelum keesokannya lokasi perlumbaan bermula di Kemasik, Kemaman ke Kuala Terengganu.
“Pada pusingan akhir nanti, peserta akan mengelilingi Bandaraya Kuala Terengganu sebanyak 20 pusingan.
“Perlumbaan ini akan dapat disaksikan di seluruh dunia (melalui siaran langsung) sekali gus kita yakin ia mampu memperkenalkan Terengganu ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika hadir merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di Kemaman, kelmarin.
Sebagai kuasa baru sukan negara juga, penganjuran kejohanan LTdL edisi akan datang di bumi penyu bertelur ini mampu melonjakkan nama Terengganu di mata dunia pula.
Sebelum ini, Terengganu turut menawarkan diri untuk menjadi lokasi penganjuran pusingan akhir kejohanan LTdL berkenaan dan menawarkan tajaan RM1 juta termasuk kos hadiah kepada pemenang dan akhirnya kini hajat berkenaan termakbul.
Sehubungan itu, Ahmad berharap rakyat negeri ini dapat menjaga kebersihan agar keindahan negeri ini yang terkenal dengan gelaran Negeri Cantik Budaya Menarik terpelihara dan tidak memalukan negeri apabila kejohanan berprestij itu berlangsung.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment