Saturday, June 25, 2011

Ubah Kaedah Pertanian Untuk Hasil Lebih Baik, Kata Johari

Terdapat pelbagai projek pertanian sedang dilaksanakan di Terengganu terutama di daerah Dungun tetapi ada antaranya harus diperbaiki kaedah penanamannya untuk menjamin hasil lebih baik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum berkata, umpamanya projek tanaman pisang berkelompok seluas 32 hektar di Kampung Padang Pulut di Dungun, yang memerlukan satu perubahan dari segi penjagaan.

"Saya lihat tanah di situ sangat baik dan sesuai untuk tanaman pisang, tetapi penjagaannya tidak mengikut kaedah yang betul dan sesuai.

"Untuk mendapat hasil, petani perlu mengubah cara mereka mengurus ladang pisang berkenaan kerana sekarang ia tidak diuruskan dengan teratur dan penjagaan tidak baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penanaman pisang di Kampung Padang Pulut dan melawat Ladang Lembu Fidlot Kembar Teguh, Pusat Latihan Veterinar, Jerangau dekat semalam.

Beliau berkata, terdapat pokok pisang di ladang itu tidak dijaga dengan baik dan dibiarkan tumbuh begitu sahaja tanpa panjagaan.

"Saya minta Jabatan Pertanian melihat perkara ini supaya petani yang mengusahakan ladang berkenaan diberi pendedahan bagaimana cara penanaman yang betul bagi mendapatkan hasil yang baik," katanya.

Beliau juga mahu Jabatan Pertanian memilih beberapa orang yang berminat mengusahakan ladang pisang dan mencari tapak yang sesuai untuk mewujudkan projek perintis sebagai contoh kepada yang lain.

Mengenai ladang lembu fidlot Syarikat Kembar Teguh yang diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu, beliau berkata tanah di sini sangat sesuai dan ia boleh berjaya kerana pengusaha mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan.

Syarikat Kembar Teguh seluas kira-kira 40 hektar terletak di Pusat Latihan Veterinar, Cermin Kiri Jerangau, diusahakan oleh Marahza Abdul Majid dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Ia bukan sahaja menternak lembu dan kambing, tetapi turut memproses tinja (najis) ternakan untuk menghasilkan baja organik pelbagai guna di bawah jenama KT Multi Bio untuk pasaran dalam dan luar Terengganu.

Selain bidang ternakan, Syarikat Kembar Teguh juga mempunyai ladang jagung untuk menghasilkan bahan mentah sebagai makanan ternakan.

Tanaman jagung juga dapat menarik burung walit membina sarang di rumah burung yang telah disediakan.

No comments:

Post a Comment