Terengganu bukan sahaja mampu merayakan kemenangan ke atas Kelantan malam ini tetapi membawa keyakinan tinggi untuk bertemu di final Piala FA, Sabtu ini.
Pada ketika Terengganu bersandarkan ketajaman penyudah Abdul Hadi Yahya untuk terus meledakkan gol, pertembungan dua jaguh pantai Timur, Kelantan dan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu dalam saingan Liga Super mala mini disifatkan sebagai 'pembayang' siapa bakal memenangi final Piala FA di antara kedua-dua pasukan malam ini.
Berdasarkan rekod pertemuan musim lalu, ia berpihak Red Warriors apabila menumbangkan skuad Penyu 3-0 pada pusingan kedua, selepas hanya seri tanpa jaringan di Kuala Terengganu.
Namun musim ini ceritanya berbeza apabila kedua-dua pasukan berkongsi mata pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammed IV, awal Februari lalu, apalagi penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (gambar kanan) yang juga penjaga gol kebangsaan tidak turun malam ini.
Apapun, ketajaman dan pengalaman Abdul Hadi yang diraih bersama Harimau Malaya pada perlawanan dengan Hong Kong Jumaat lalu yang menjadikan beliau penyelamat pasukan Malaysia seri 1-1 di Hong Kong itu akan dipamer sebaik mungkin dalam perlawanan malam ini.
Gol penyamaan Malaysia dijaringkan oleh Abdul Hadi di Hong Kong membuktikan dia berbahaya pada perlawanan di dalam dan di luar negara.
Terengganu bagaimanapun, turun tanpa enam pemain utamanya berikutan tugasan bersama skuad kebangsaan dan skuad Olimpik.
Enam pemain berkenaan adalah Ashaari Samsuddin, Abdul Hadi, Ismail Faruqi, Ashaari, Helmi Remeli dan Ahmad Sharbinee Allawee (penjaga gol) serta Mohd Zubir Mohd Azmi (Olimpik) bersama Harimau Muda.
Biarpun begitu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim tetap meneruskan latihan seperti biasa di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bagi persiapan melayani Kelantan malam ini dengan tumpuan khas diberikan bagi mempertajamkan barisan depan supaya dapat memecahkan benteng pertahanan Kelantan.
“Terengganu perlu menang ke atas pendahulu liga, Kelantan bagi merampas semula kedudukan teratas dan mencerahkan peluang memburu kejuaraan Liga Super musim ini,” katanya.
Daripada enam pemain berkenaan, Irfan hanya kehilangan khidmat Ashaari yang digantung satu perlawanan kerana menerima tiga kad kuning tetapi dia berharap, lima yang lain hadir dengan semangat juang lebih tinggi selepas menimba pengalaman bersama skuad kebangsaan.
Sementara itu, kapten Marzuki Yusof yakin Terengganu mampu menghalang hajat Kelantan yang mahu mencari kemenangan, sekali gus memastikan barisan Datuk M Karathu pulang dengan tangan kosong.
“Moral pemain Terengganu kini semakin tinggi berikutan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang bejanji mahu memberi ganjaran membawa pasukan ke Eropah jika menjuarai Liga Super dan Piala FA,” katanya.
Di pihak Kelantan, tugas sukar menanti pengendali Kelantan Datuk M.Karathu untuk merencanakan ramuan terbaik untuk memastikan Red Warriors membawa pulang tiga mata dalam usaha untuk mengukuhkan cengkaman tangga teratas Liga Super.
Meskipun turun tanpa penjaga gol utama, Khairul Fahmi serta pertahanan kental, Zairul Fitree Ishak yang digantung, ia tidak menjejaskan peluang Red Warriors.
Ketiadaan Khairul Fahmi membuka peluang kepada Mohd. Shahrizan Ismail.
Begitu juga dengan posisi Zairul Fitree, yang akan diambil alih oleh Abdul Aziz Ismail.
Kembalinya, Dausu Jamaludin daripada penggantungan, akan memantapkan semula pertahanan Kelantan bersama Mohd. Farisham Ismail, S.Subramaiam serta Abdul Aziz Ismail.
Mereka mampu mengekang jentera serangan tuan rumah yang diketuai oleh penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat.
Kelibat penggempur sensasi kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingan S.Chanturu sekali lagi ditagih oleh peminat Red Warriors untuk menembusi benteng pertahanan tuan rumah seterusnya mengecewakan Mohd. Sarbinee Alaweedi di gawang gol Terengganu.
No comments:
Post a Comment