Saturday, June 11, 2011

Ultras Ganu, Peteh, TFC vs Gelombang Merah

Demam Final...Dua penyokong Terengganu, Mazlizawati Mohamed (kiri) dan Farah Hanim Abdullah menunjukkan isyarat bagus kerana kreativiti seorang penyokong Kelab Peteh yang membuat corak bendera negeri dan penyu pada kepalanya di Kuala Terengganu semalam sempena perlawanan akhir Piala FA di antara Terengganu dan Kelantan esok.


Hmmm hebat. Macam perlawanan antarabangsa.

Penyokong Kelantan dan Terengganu bersiap sedia memberikan sokongan dan sorakan kepada pasukan masing-masing.

Ketika bahang final Piala FA semakin terasa, tiga kelab penyokong Terengganu iaitu Terengganu Fan Club (TFC), Peteh dan Ultras Ganu melaungkan amaran untuk menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sorakan padu mereka.

Ketua Penerangan TFC, Rashid Ridha berkata, penyokong ketiga-tiga kelab akan berpadu tenaga bagi memastikan pasukan Terengganu tidak kekeringan sorakan berbanding penyokong Kelantan.

Katanya, walaupun skuad Penyu tunduk kepada Kelantan 0-3 di gelanggang sendiri Isnin lalu, ia tidak mematahkan semangat untuk melihat pasukan itu meraih kejayaan pada final nanti.

"Memang kita menyimpan harapan yang tinggi untuk melihat pasukan kesayangan kita Terengganu membawa pulang Piala FA.

"Untuk itu, TFC telah menyediakan 10 buah bas khas untuk ahli kelab menyaksikan perlawanan bersejarah itu nanti," katanya.

Bagi Timbalan Pengerusi Peteh, Datuk Mohd. Hazlan Ismail pula, Terengganu seharusnya melupakan kekalahan lalu dan bersedia untuk bangkit pada final.

Katanya, Peteh tidak akan jemu memberi sokongan kepada pasukan Terengganu dan berharap agar para pemain bermotivasi tinggi untuk menang.

"Kami juga akan beri ganjaran kepada para pemain walaupun mungkin tidak sebesar mana sekiranya mereka pulang dengan kejayaan," katanya.

Tambah Mohd. Hazlan, walaupun Peteh hanya menyediakan tujuh buah bas, ramai lagi penyokong yang akan menyertai mereka dengan menaiki bas sumbangan kerajaan negeri serta kenderaan perseorangan.

Sementara itu, jurucakap kelab penyokong Ultras Ganu, Mohd. Shafiq Sahari memberitahu, mereka akan merancang gimik baru sempena final nanti.

"Ultras Ganu adalah sebahagian daripada Ultras Malaya dan kita akan sentiasa berdiri teguh di belakang pemain dalam apa keadaan sekalipun," katanya, yang akan bersama-sama rombongan seramai 20 anggota kelab itu ke sana.

Sementara ‘Gelombang Merah’ mengiringi pergerakan 150 kereta yang disertai 600 peminat bola sepak dari kawasan Parlimen Kota Bharu bagi menyokong pasukan Red Warriors yang beraksi di pentas final Piala FA bertemu Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Konvoi dianjurkan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu itu berlepas dari pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, jam 4 petang semalam. Majlis pelepasan konvoi berkereta itu dilakukan Bendahari UMNO Bahagian Kota Bharu, Sheikh Rozi Sheikh Ahmad.

Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, Wan Abdul Rahman Wan Ismail berkata, pihaknya berjaya mengumpul 600 peminat bola sepak dari kawasan Parlimen itu mengikuti konvoi menaiki 150 buah kereta pelbagai jenis ke Bukit Jalil.

Katanya, pihaknya tidak mahu ketinggalan untuk memberi sokongan padu kepada Red Warriors yang beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA bertemu Terengganu malam ini.

No comments:

Post a Comment