Friday, June 10, 2011

Wilayah Persekutuan Pertahan Emas Bola Jaring

Terengganu masih gagal menyaingi Wilayah Persekutuan bagi acara bola jaring Sukan Malaysia ke-14 di Stadium Juara semalam.

Turun sebagai juara bertahan, Wilayah Persekutuan nyata meneruskan dominasi dalam acara bola jaring apabila meraih emas dengan kelebihan kehadiran pemain-pemain kebangsaan seperti Nur Syafazliyana Mohd Ali (GK), Nurul Shaffa Mustafa (GA), Nurul Adha Abu Bakar (WD) dan Noramirah Dayana Noor Azhar (GD).

Pasukan itu, yang telah jauh meninggalkan Terengganu 21-11 selepas dua suku perlawanan, mempamerkan aksi tangkas untuk memenangi perlawanan dengan pungutan mata 49-21.

Jurulatih Norizan Rajab berkata strategi membuat rombakan pemain selepas suku kedua perlawanan telah membantu menjarakkan lagi mata kemenangan.

"Perlawanan akhir sememangnya mempunyai suasana yang berbeza dengan perlawanan biasa. Pemain saya agak gugup pada awal perlawanan dan itu menjejaskan prestasi mereka.

"Namun setelah sedikit rombakan, mereka berjaya menunjukkan permainan yang baik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Turut menyaksikan perlawanan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Norizan menyifatkan Nur Syafazliana dan Rozliana merupakan tulang belakang Wilayah Persekutuan selain memberi motivasi kepada pemain lain.

"Mereka ini mempunyai kekuatan mental yang mantap dan banyak membantu pasukan," katanya.

Ini merupakan kali keempat Wilayah Persekutuan meraih emas menerusi acara bola jaring dalam Sukan Malaysia.

Kedah membawa pulang gangsa setelah menumpaskan Johor 49-47 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga sebelum itu.

No comments:

Post a Comment