Tuanku Mizan menyampaikan plak dan bendera kepada salah seorangt peserta pada perkhemahan semalam. - Gambar Harith Fadzilah.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam berkenan merasmikan Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 di Terengganu Ekuesterian Resort (TER) di Kuala Terengganu.
Pada majlis tersebut baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut menyerahkan plak dan bendera kepada empat kelab poni atau kuda padi yang baru ditubuhkan.
Seri Paduka Baginda berdua juga menyaksikan beberapa persembahan acara poni dan pameran pada perkhemahan selama enam hari sehingga Khamis ini.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Majlis Ekuin Malaysia (MEM) Datuk Seri Mahamad Fathil Mahmood.
Perkhemahan Poni Kebangsaan anjuran kerajaan Terengganu dengan kerjasama MEM itu melibatkan 320 peserta dari 15 buah kelab poni di seluruh negara.
Perkhemahan itu yang mengumpulkan semua kelab poni di bawah naungan MEM antara lain bertujuan mendedahkan anggota kelab mengenai cara penjagaan kuda serta memelihara perhubungan antara pemilik dan haiwan tersebut.
Terdahulu ketika berucap, Ahmad berkata perkhemahan itu membuka peluang kepada semua peringkat usia mengenali kuda dengan lebih dekat dan berharap kelab poni akan menjadi lebih popular pada masa depan.
"Kita harap dengan perkhemahan poni ini, ia akan mempopularkan sukan berkuda di negeri Terengganu pada masa akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment