Terengganu mempunyai 124 premis menyertai Program Manu Rakyat 1Malaysia yang julung kali diadakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di seluruh negara.
Timbalan Pengarah KPDNKK Negeri Terengganu Ab Ghani Harun berkata, dari jumlah itu terdapat 40 premis di Kuala Terengganu, Hulu Terenggnau (26), Marang (20), Dungun (17), Kemaman (lapan), Setiu (tujuh) dan Besut (enam).
"Kejayaan program ini amat bergantung kepada komitmen dan sokongan pengusaha kedai makan. Ia merupakan tanggungjawab sosial korporat pengusaha kedai makan kepada pelanggannya.
"Kepada pengusaha restoran, kedai dan gerai makan yang belum menyertai program ini, pihak kementerian mengalu-alukan penyertaan mereka agar hasrat kerajaan untuk meringankan beban perbelanjaan harian rakyat menjadi realiti," katanya ketika melancarkan program itu di Warung Siang Malam di Gong Badak dekat sini.
Beliau berkata pakej diperkenalkan kerajaan itu adalah sebagai salah satu langkah untuk menawarkan harga makanan bermasak dengan harga yang berpatutan untuk dinikmati oleh rakyat.
Katanya, program itu bukanlah satu bentuk kawalan harga kepada pengusaha kedai makan, tetapi ia lebih kepada tanggungjawab sosial korporat pengusaha kedai makan kepada pelanggan.
"Penyertaan program menu rakyat 1Malaysia ini terbuka kepada semua pengusaha kedai makan dan mengalu-alukan pengusaha yang berminat untuk turut serta," katanya.
Sementara itu pengusaha Warong Siang Malam Zamri Ali, 49, ketika ditemui berkata, beliau menyertai program itu bagi meringan beban perbelanjaan beliau yang berpendapatan rendah.
"Soal untung, ia bergantung kepada pelanggan. Walaupun untung sedikit, tetapi jika mendapat sambutan baik daripada pelanggan, ia mampu menjalankan perniagaan seperti biasa," katanya yang sudah menjalankan perniagaan di situ sejak empat tahun lepas.
Katanya sehingga ini warungnya yang mengenakan harga RM2 bagi sekeping roti canai bersama teh tarik untuk sarapan pagi dan RM4 untuk nasi putih, ayam goreng, sayur serta segelas tea-o ais untuk makan tengah hari, mendapat sambutan baik daripada pengunjung.
No comments:
Post a Comment