Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Wilayah Timur mengajak usahawan di Pantai Timur menyertai lawatan ke TPM Biotech Sdn Bhd (TPM Biotech) di Raub, Pahang, 27 Julai ini.
Pengarah Matrade Wilayah Timur Hasziah Mohd Yazid berkata lawatan itu bertujuan meninjau kemudahan di situ, terutama dalam bidang makanan kesihatan, nutraseutikal dan kosmetik.
Pusat itu juga menyediakan perkhidmatan analisis makmal.
"Khidmat yang ditawarkan TPM Biotech penting dalam membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) sekiranya ingin meluaskan atau melebarkan pasaran produk mereka ke peringkat antarabangsa," katanya di Kuala Terengganu.
Katanya TPM Biotech juga membantu dari segi persijilan halal atau Amalan Pengilangan Baik.
Menurut Hasziah lawatan itu terbuka kepada usahawan, sama ada dari Terengganu, Kelantan ataupun Pahang.
Katanya di Pantai Timur terdapat ramai usahawan herba dan kesihatan, namun perusahaan itu dijalankan secara kecil-kecilan.
Sehubungan itu, katanya lawatan berkenaan boleh dijadikan jalan pintas untuk mereka mengintai pasaran lebih besar.
"Lawatan ini percuma dan peserta diminta merancang perjalanan masing-masing memandangkan tempoh perjalanan dari Kuantan ke TPM Raub mengambil masa kira-kira empat jam.
"Kesemua peserta diminta berada di pusat itu pada pukul 11 pagi dan lawatan berakhir pukul 1 tengah hari," katanya.
Katanya peta lokasi TDM Biotech di Kampung Ulu Sungai, Batu Talam, Raub, boleh dimuat turun menerusi laman web http://matradewilayahtimur.blogspot.com.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang yang perlu dikembalikan untuk tujuan pendaftaran sebelum 24 Julai ini menerusi laman web berkenaan.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai Matrade Wilayah Timur, Mohd Zulkhairie Effendi atau Nor Afikah Abdullah di talian 09-6244778.
Pusat Biotek Herba Technology Park Malaysia mula dibina pada tahun 2004 dan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2006.
TPM Biotech Sdn Bhd ialah anak syarikat Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd, milik kerajaan dan diselia oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pusat Biotek Herba Raub Technology Park Malaysia ini dibangunkan bagi membantu usahawan tempatan dalam bidang biotek herba dan nutraseutikal bagi menghasilkan produk yang bertaraf dunia.
No comments:
Post a Comment