Thursday, July 14, 2011

15 Penyu Mati Angkara Pukat Pari di Pantai Terengganu

Sebanyak 15 penyu agar yang dipercayai terperangkap dalam pukat pari semasa hendak naik ke pantai untuk bertelur, ditemui mati di pantai Terengganu sejak Januari hingga bulan lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zakaria Ismail, berkata berikutan itu pihaknya merampas 113 bidang pukat pari dalam operasi pemusnahan pukat pari sejak Mac hingga bulan lalu.

"Kita percaya penyu itu dicampak keluar oleh nelayan pukat pari sebelum dihanyutkan ke pantai," katanya.

Zakaria berkata, pihaknya sedang meningkatkan operasi memusnahkan pukat pari sepanjang pantai Terengganu.

Katanya, banyak aduan diterima daripada pencinta penyu mengenai kegiatan nelayan pukat pari di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, katanya, jabatan berkenaan berjaya melepaskan sebanyak 26,766 anak penyu agar yang baru menetas ke laut sejak Mac hingga bulan lalu.

Zakaria berkata, daripada jumlah itu, Pulau Redang paling banyak melepaskan anak penyu iaitu sebanyak 17,638, diikuti Geliga Kemaman (4,620), daerah Setiu (2,031), Ma'daerah (1,117), Cakar Hutan (892), Ru Kudung Paka (321) dan Rantau Abang (147).
Beliau berkata, dalam tempoh itu sebanyak 1,785 pendaratan penyu membabitkan 39,259 telur sudah direkodkan di Terengganu.

Ia membabitkan kawasan Geliga, Kemaman sebanyak 721, Ma'daerah (84), Cakar Hutan Kerteh (47), Ru Kudung Paka (10), Rantau Abang Dungun (12), Pulau Redang (728) dan Pulau Perhentian (113) pendaratan.

Zakaria berkata, musim kemuncak pendaratan penyu di Terengganu antara Jun dan Julai.

Beliau berkata, pihaknya juga mengadakan program pendidikan dan kesedaran awam mengenai penyu kepada 1,838 orang dalam tempoh enam bulan tahun ini.

No comments:

Post a Comment