Sunday, July 17, 2011

Ambil Tindakan Terhadap Pengusaha Homestay Tanpa Kelulusan

Kementerian Pelancongan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pengusaha rumah tumpangan yang menggunakan istilah homestay tanpa sebarang kelulusan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, pihak kementerian tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pengusaha terbabit kerana homestay didaftarkan di bawah di PBT di setiap negeri.

Menurutnya, mengikut kajian yang dilakukan pihak kementerian sejak awal tahun ini mendapati, terdapat hampir 800 rumah tumpangan di seluruh negara dikesan menggunakan istilah homestay tetapi tidak menepati ciri-ciri homestay yang sebenar, sebaliknya hanya menawarkan kemudahan penginapan.

“Kita mewujudkan homestay ini dengan tujuan membantu menambahkan pendapatan penduduk luar bandar dan memberi peluang kepada pelancong untuk merasai suasana kehidupan kampung yang sebenar.

“Tindakan pengusaha rumah tumpangan ini sebenarnya mengelirukan orang ramai serta menjejaskan pengusaha homestay yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat berhubung sektor pelancongan di Negeri-negeri Pantai Timur bertajuk Pelan Pembangunan dan Peluang Perniagaan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Malaysia (ACCCIM), Tan Sri William Cheng; Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Terengganu, Datuk Cheah Ken Toh dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar, Toh Chin Yew.

Sementara itu, Yen Yen berkata, pengusaha sektor pelancongan dari negeri Pantai Timur perlu giat memasarkan produk yang terdapat di negeri mereka.

Bagaimanapun, katanya, ia terpulang kepada rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang sama ada mahu membangunkan sektor pelancongan secara bersama atau tidak, namun strategi menyediakan pakej pelancongan yang baik dengan produk yang menarik amat mustahak bagi memastikan sektor pelancongan ini terus berkembang.

Pada majlis itu turut diadakan Bengkel Sektor Pelancongan Pantai Timur kali ke-4 sempena Mesyuarat Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Pantai Timur yang dihadiri Persatuan Peniaga Cina dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

No comments:

Post a Comment