Tiga masjid baru dengan kos peruntukan sebanyak RM3 juta hingga RM4 juta setiap buah untuk kegunaan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok dijangka siap pada 2013.
Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok, Dauk Che Mat Jusoh berkata, pembinaan masjid baru itu melibatkan tiga kawasan iaitu Kampung Kubang Ikan, Kampung Gong Tok Nasek dan Permint Jaya, Chendering.
Katanya, pihak yang terlibat kini sedang menyelesaikan kerja peringkat awal terutama melibatkan reka bentuk dan tapak projek sebelum pembinaan dilaksanakan segera tahun ini.
“Pembinaan Masjid Permint Jaya umpamanya, sedikit terjejas berikutan penduduk di kawasan itu yang berhasrat mengekalkan pembinaan masjid baru di tapak asal surau yang sedia ada.
“Saya akan membawa hasrat penduduk itu kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berikutan beliau (Menteri Besar)sudah meluluskan pembinaannya di tapak baru berhampiran tapak surau lama itu,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.
Beliau berkata, apabila segala perundingan dan perancangan berjalan lancar, kerajaan negeri akan menyegerakan projek pembinaan masjid berkenaan supaya tempat ibadat untuk kemudahan umat Islam itu dapat siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.
Dalam pada itu, Masjid Raja Chendering yang gagal siap pada hujung tahun lalu, dijangka dapat digunakan pada Ramadan ini bagi kemudahan penduduk sekitar melakukan ibadat terawih.
Masjid bernilai kira-kira RM9.2 juta yang gagal siap mengikut tender itu turut mendapat perhatian Menteri Besar yang meninjau projek berkenaan pada 14 Mei lalu.
Dalam lawatan itu, beliau turut mengarahkan supaya kontraktor terlibat menyiapkan segera pembinaan masjid itu supaya ia dapat digunakan sepenuhnya menjelang bulan puasa ini.
No comments:
Post a Comment