Sunday, July 24, 2011

Burung Walit Sumbang RM5b Menjelang 2020

Perusahaan burung walit dijangka mampu memberi sumbangan kira-kira RM4 hingga RM5 bilion iaitu hampir satu peratus daripada RM523 bilion Pendapatan Kasar Negara (GNI) menjelang 2020.

Pengarah Bahagian Pembangunan Sumber Teknologi Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr Kamaruddin Md Isa berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan sambutan yang tinggi terhadap pasaran sarang burung itu ketika ini terutamanya daripada China.

Menurutnya, harga bagi satu kilogram sarang burung itu mampu mencecah RM5,000 jika dinilai berdasarkan gred, saiz dan ketulenannya di pasaran tempatan.

“Jika dieksport ke China pula, harganya dipercayai boleh meningkat sehingga empat kali ganda kerana permintaan di sana sangat tinggi.

“Justeru, perusahaan ini perlu dikomersialkan memandang permintaannya semakin meningkat dan kini sudah menembusi pasaran di Timur Tengah,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Persidangan dan Latihan Pengurusan Ladang Walit Antarabangsa (Icotos) di Taman Tamadun Islam (TTI).

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Zolkipli Abdul; Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Alias Daud serta Pengerusi Jawatankuasa merangkap Dekan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi UniSZA, Profesor Dr Mat Zakaria.

Seminar selama tiga hari itu disertai hampir 200 peserta yang terdiri daripada pengusaha burung walit dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia dan India.

Sementara itu, Dr Kamaruddin berkata, sehingga kini, belum ada bukti kukuh bahawa burung walit boleh menjejaskan kesihatan manusia.

“Berdasarkan kajian yang kita buat, burung walit tidak mendatangkan apa-apa masalah kesihatan kepada pengusahanya sebaliknya memberi manfaat kepada mereka.

“Perusahaan burung walit tidak sukar kerana ia banyak bergantung kepada lokasi penempatan burung berkenaan. Jika lokasi yang dipilih sesuai termasuk berdekatan dengan sumber makanan mereka, perusahaan ini tidak akan mengambil masa lama,” katanya.

No comments:

Post a Comment