Sunday, July 24, 2011

Yusof Selar Dakwaan Felda Menyimpang

Penasihat Khas Lembaga Kemajuan Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, menyelar dakwaan sesetengah pihak bahawa Felda menyimpang daripada tugas asal, terutama berhubung kebajikan terhadap warga tanah rancangan tersebut.

Menurutnya, sudah banyak sumbangan yang diberikan masyarakat di kawasan itu terutama yang dimainkan yayasan agensi tersebut dikenali sebagai Yayasan Felda.

Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai bukti dengan merekodkan setiap program pembangunan yang dilaksanakan untuk memastikan pelaksanaan itu memberi manfaat, bukan sahaja kepada warga Felda tetapi masyarakat umum.

“Sejak akhir-akhir ini, ada membuat tafsiran negatif yang menganggap Felda sudah menyimpang daripada tugas asal.

“Segala tuduhan itu tidak berasas kerana kita mempunyai rekod mengenai penglibatan Felda dalam pembangunan tanah dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Kepada Pesakit dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia di Auditorium Kompleks Rawatan Harian, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan ‘3 Mode Continouse Wall Mounted Regular’ untuk kegunaan pihak hospital dan RM5,000 kepada tabung kebajikan hospital.

Beliau turut menyumbang barangan makanan untuk sambutan Hari Raya dan duit bernilai kira-kira RM39,000 iaitu RM300 setiap orang kepada 130 pesakit di hospital itu sempena program Melakar Kasih.

Sumbangan itu merupakan misi Yayasan Felda untuk melaksana dan menggalakkan kerja-kerja amal dan kebajikan bersesuaian dengan visi yayasan sebagai peneraju utama pelaksanaan tanggungjawab sosial dan keprihatinan Kumpulan Felda.

Sementara itu, Yusof turut memberitahu, pihaknya turut menyumbang kira-kira 52 buah mesin hemodialisis kepada pusat-pusat kesihatan bagi membantu pesakit buah pinggang di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment