Friday, July 8, 2011

Empat Pelatih PUSPEN Larikan Diri, Tiga Berjaya Ditahan Kembali

Empat pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Besut bertindak nekad melarikan diri dengan mencuri sebuah lori yang datang menghantar bahan mentah di situ sebelum merempuh pondok pengawal untuk meloloskan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, salah seorang daripada suspek yang berumur di antara 25 hingga 32 itu bertindak menghidupkan kenderaan seberat tiga tan itu.

"Ketika kejadian, pemandunya sedang memunggah barangan yang dihantar dan tidak mencabut kunci pada lori tersebut menyebabkan kesempatan itu telah diambil oleh kesemua suspek untuk melarikan diri dengan menaiki kenderaan berkenaan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata selepas merempuh pondok kawalan, lori yang dinaiki suspek turut merempuh sebuah kereta Perodua Kancil yang diletakkan di bahu jalan di luar pusat berkenaan sebelum melarikan diri ke arah Pasir Puteh, Kelantan.

Malah, selepas itu kenderaan tersebut difahamkan turut merempuh sekatan jalan di Bukit Jong, Kelantan sehingga mengakibatkan seorang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian turut cedera di bahagian tangan.

Bagaimanapun kegembiraan kesemua suspek tidak bertahan lama apabila tiga daripada pelatih berkenaan berjaya ditahan polis.

"Dua daripada pelatih berkenaan kemudian berjaya ditahan di Batu 11 berhampiran Bukit Bunga, Jeli, Kelantan kira-kira 12.20 tengah hari tadi, manakala seorang lagi diberkas kira-kira sejam kemudian berhampiran kawasan yang sama," katanya.

Seorang lagi suspek berjaya melarikan diri dan polis Terengganu dengan kerjasama polis Kelantan kini sedang giat menjalankan operasi mengesan pelatih berkenaan.

Polis juga turut menemui semula lori yang digunakan oleh kesemua suspek di kawasan berhampiran.

Katanya kes akan disiasat mengikut Seksyen 307, 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 19(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan).

No comments:

Post a Comment