Friday, July 8, 2011

Program Tanggungjawab Sosial Universiti Beri Manfaat Kepada Komuniti

Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) yang menjadi agenda pendidikan tinggi negara dilihat banyak memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Aziz Deraman berkata, program seumpama itu yang menjadi agenda tahunan UMT untuk memberi peluang curahan ilmu universiti kepada masyarakat.

Objektif USR katanya, dapat mendekati komuniti di luar kampus dengan memberi peluang kepada masyarakat menikmati kewujudan UMT melalui pelbagai program yang dianjurkan.

Selain itu, usaha itu akan dapat memainkan peranan aktif UMT dalam pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan melalui penyediaan perkhidmatan terutama kepada komuniti sekitar.

"Namun buat pertama kalinya UMT melakukan USR di luar negeri Terengganu iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar (Kuantan).

"Sekolah ini dipilih ekoran daripada anjuran alumni sekolah ini dari tahun 1972 hingga 1976 dan saya salah seorang daripada mereka," katanya kepada pemberita di Kuantan, semalam.

Aziz berkata penganjuran alumnai itu juga akan dapat menaikkan semangat pelajar-pelajar bagi meningkatkan prestasi yang lebih tinggi.

Beliau berkata pelajar lama pula akan dapat kembali ke tempat asal (sekolah) di samping dapat memberi contoh yang baik secara berterusan.

Katanya, contoh yang baik oleh bekas-bekas pelajar berkenaan juga secara tidak langsung dapat melonjakkan moral sekolah.

Aziz turut menyarankan menteri-menteri dan pegawai tinggi kerajaan untuk meluangkan sedikit masa kepada sekolah mereka yang boleh memberikan inspirasi kepada pelajar-pelajar.

No comments:

Post a Comment