Sunday, July 10, 2011

Fama Wujud Pasar Tani Pertama Untuk Peserta AIM Di Terengganu

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Terengganu, termasuk menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan.

Sehubungan itu, Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata Fama dengan kerjasama AIM mewujudkan sebuah pasar tani wanita untuk peserta-peserta AIM di Kuala Telemong, Hulu Terengganu awal Jun lepas.

"Ini merupakan pasar tani wanita yang pertama di Terengganu dan mungkin juga di negara ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.

Pada masa ini, Hasan berkata seratus peratus peniaga di pasar tani itu terdiri daripada peserta AIM dan kebanyakan mereka mempunyai pengalaman asas dalam bidang perniagaan.

Beliau berkata Fama membantu peserta-peserta pasar tani itu dengan menyediakan kemudahan asas seperti khemah di samping memberi bimbingan dalam bidang perniagaan manakala AIM pula membantu daripada segi kewangan.

Hasan berkata Fama memilih kawasan Kuala Telemong untuk mewujudkan pasar tani itu kerana ia merupakan salah satu daripada tiga pusat pertubuhan ekonomi desa di Hulu Terengganu.

Beliau berkata pasar tani wanita itu mungkin dikembangkan ke daerah-daerah lain bagi membolehkan peserta AIM berniaga, sekaligus meningkatan pendapatan keluarga.

No comments:

Post a Comment