Kejohanan Formula Future Kebangsaan 2011 di Kompleks Sukan Air, Precint 6 Putrajaya mulai Jumaat ini dijangka sengit dengan kehadiran beberapa pelumba baru dari negeri yang bukan kuasa besar acara tersebut.
Pengurus Projek Formula Future, Ahmad Fairuz Yusof membayangkan kejohanan kebangsaan buat kali kelapan itu sukar buat negeri yang sinonim dengan sukan tersebut seperti Terengganu, Kuala Lumpur dan Selangor.
"Sebanyak 13 negeri yang mengambil bahagian, jadi kita tidak boleh membuat andaian negeri mana yang akan menguasai perlumbaan kali ini berikutan beberapa negeri lain seperti Sabah, Kedah dan Perlis sudah membuat persiapan rapi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, seramai 120 pilot akan bersaing untuk merebut 15 pingat emas yang ditawarkan mengikut kelas masing-masing, serta mengintai peluang mewakili negara di Kejohanan Dunia yang akan diadakan di St. Petersburg, tahun ini.
"Esok semua pasukan akan menjalani latihan sebelum memulakan aksi selama tiga hari mulai Jumaat hingga Ahad, melibatkan pilot berumur 8 hingga 18 tahun.
"Tidak banyak beza dengan kejohanan sebelum ini cuma kali ini kami menukar lokasi pertandingan yang lebih baik berbanding di Taman Botani di Precint 1, Putrajaya.
"Kompleks Sukan Air menawarkan tempat duduk penonton yang lebih selesa serta mempunyai menara kawalan khas," katanya.
Kejohanan Formula Future diperkenalkan oleh Kesatuan Sukan Air Bermotor Antarabangsa (UIM) pada awal 1980-an dengan objektif mewujudkan peluang serta mendidik remaja tentang sukan air bermotor dari peringkat akar umbi.
No comments:
Post a Comment