Wednesday, July 13, 2011

Beasly Tentukan Status Azizulhasni ke Shenzhen

Keputusan sama ada jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang akan beraksi pada Sukan Universiti Dunia 2011 (Universiade) di Shenzhen, hanya akan ditentukan oleh ketua jurulatih kebangsaan, John Beasly.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, penilaian akan dibuat oleh Beasly bagi menentukan sama Azizulhasni cukup cergas untuk menyertai temasya tersebut.

"Walaupun penyertaan Azizul masih belum dipastikan, kita telah mendaftarkan namanya untuk ke temasya itu dan terpulang kepada John Beasly bagi menilai kemampuan Azizul," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Naim, pelumba kelahiran Terengganu itu baru sahaja pulang ke Melbourne, Jumaat lalu setelah lima bulan menjalani program pemulihan di negara ini.

Jelasnya, sejak ditimpa kemalangan pada Siri Piala Dunia Klasik, Manchester, England Februari lalu, Azizul tidak menyertai sebarang pertandingan bagi menguji tahap kecergasannya.

"Sejauh mana kemampuan untuk untuk dia bersaing dalam pertandingan sukar untuk dinilai, kerana Azizul agak lama tidak berkayuh iaitu sejak Mac lalu.

"Jika dia menyertai Universiade, ia merupakan pertandingan pertama yang disertainya sejak pulih daripada kecederaan," ujarnya.

Azizul dijangka menyertai dua acara pada temasya tersebut iaitu acara keirin dan pecut.

Pelumba berusia 23 tahun itu juga diramal berdepan saingan pelumba kembar tuan rumah, Zhang Mio dan Zhang Li.

Azizulhasni dikatakan telah pun sembuh sepenuhnya dan kembali ke Melbourne bagi menjalani rutin latihannya di sana.

Naim memberitahu, sekiranya Azizul dibenarkan ke China, tiada sasaran pingat diletakkan ke atas pelumba itu kerana tumpuan sebenar adalah untuk memulihkan semangat serta fokusnya pada perlumbaan.

Mengenai perkembangan terkini pelumba pelapis, Jupha Somnet, Naim berkata, pelumba berusia 19 tahun itu belum memulakan latihan di Melbourne.

"Kita memang berhasrat untuk menghantar Jupha ke Melbourne kerana dia bukan sahaja boleh menerima pendedahan di sana, malah dia boleh dijadikan sebagai rakan sepelatih yang bagus buat Fatehah Mustapa yang dalam persediaan ke Olimpik 2012," katanya.

Selain Jupha, pelumba muda yang telah pun berangkat ke Melbourne ialah Mohd. Arfy Qhairant Amran, Fatah Amir Zahid dan Elmi Jumari.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment