“Saya terkilan apabila hajat untuk ke Makkah bersama isteri dihalang tanpa sebab munasabah walaupun sudah membayar RM34,000,” kata Mohd Noor Musa, 39, suami kepada wanita tertua Terengganu, Mek Wook Kondor, 108, ketika dihubungi Harian Metro semalam.
Lebih memilukan pasangan suami isteri itu hanya diberitahu tidak boleh mengikut rombongan menunaikan umrah ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa jam sebelum ahli kumpulan lain berlepas pada jam 9.30 pagi kelmarin.
Mohd Noor berkata, luluh hatinya mendengar berita menyedihkan itu sedangkan dia dan Mek Wook sudah menyiapkan dua beg pakaian dan peralatan untuk menunaikan ibadat di kota suci selain mengikuti kursus umrah serta persiapan lain.
“Beberapa hari lalu, ada wakil agensi pelancongan beritahu saya tidak boleh pergi umrah atas sebab tertentu yang tidak jelas, tetapi saya cuba berbincang dan akhirnya mereka minta saya dan isteri pergi ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu petang semalam (kelmarin) untuk ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Makkah.
“Tetapi sebaik tiba di KLIA, lain pula jadinya apabila mereka beritahu saya dan isteri tidak dapat pergi ke Makkah dan tidak pula diberi pampasan bayaran yang dilunaskan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun berat hati, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi dan yakin ada hikmah tersembunyi di sebalik kejadian itu.
Katanya, selepas puas berikhtiar dia akhirnya mengambil keputusan menaiki bas dari Kuala Lumpur pada jam 11 pagi semalam untuk pulang semula ke rumah keluarganya di Tanah Merah, Kelantan.
“Saya tidak tahu hendak cakap apa lagi dan kepada siapa hendak mengadu masalah dihadapi ini. Kalau boleh, saya berharap sangat ada pihak sudi membantu mendapatkan kembali wang RM34,000 yang dibayar kepada wakil agensi pelancongan itu walaupun separuh.
“Saya juga harap impian kami suami isteri menjejakkan kaki ke tanah suci akan tercapai suatu hari nanti dan berharap ada pihak sudi membantu menjadikannya realiti,” katanya.
Ketika ditemui Harian Metro dua bulan lalu, Mek Wook berkata, semakin dekat menjelang tarikh ke tanah suci, dia diuji dengan pelbagai perkara termasuk rumahnya dipecah masuk pencuri April lalu buat kali kedua dan dia juga kehilangan dua cincin dipercayai terjatuh ketika menebas rumput di pekarangan rumah.
No comments:
Post a Comment