Sunday, July 24, 2011

Terengganu Bakal Jadi Pengeluar Gamat Terbesar Di Malaysia

Terengganu dijangka menjadi pengeluar gamat yang terbesar di negara ini apabila Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan membangunkan tukun inovatif penstabilan fosil untuk membiak hidupan akuatik itu di perairan negeri ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Zakaria Ismail berkata USM telah melabuhkan sebanyak 15 unit tukun konkrit bersaiz 5×5 kaki dan berat setiap satunya adalah satu tan di Pantai Teluk Rotan Pulau Redang hari Khamis.

“Tukun konkrit itu diadunkan daripada cengkerang, batu karang dan pasir laut. Kita jangka ketahanannya memakan masa lebih kurang 20 hingga 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tukun Inovatif Khusus bagi Keluarga Timun Laut di Pulau Redang, kelamrin.

Turut hadir Ketua Penyelidik USM Prof Madya Dr Farid Che Ghazali.

Zakaria berkata projek itu menelan kos kira-kira RM120,000 dan kajian mengenainya mengambil masa selama lebih kurang tiga tahun.

Beliau berkata tukun inovasi gamat itu merupakan tukun novel dan yang pertama dicipta khusus bagi keluarga Stichopodidea yang hampir mengalami kepupusan di dunia.

Beliau berkata Jabatan Taman Laut telah memberikan kebenaran untuk melabuhkan tukun-tukun tersebut.

Dr Farid berkata anak-anak gamat yang telah disediakan oleh USM akan dipindahkan ke tukun itu dalam sehari dua ini.

Beliau berkata terdapat 37 hingga 40 spesis gamat di negara ini, tetapi yang popular ialah Gamat Emas atau nama saintifiknya “Stichopus Horrens” dan Gamat Sawa “Stichopus Vastus”.

No comments:

Post a Comment