Rosli Draman (kanan) menyampaikan cek pampasan kepada Sudin Ismail sambil diperhatikan Rahimah Ibrahim (dua dari kiri) di Kuala Terengganu, kelmarin.
Ibu mangsa kemalangan, Rahimah Ibrahim, 58, menerima pampasan RM46,000 daripada Etiqa Takaful di bawah Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok ekoran kematian anaknya di Setiu, 9 Mac lalu.
Anaknya, Noor Rosniah Sudin, 30, meninggal dunia setelah kereta yang dipandu terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kampung Saujana, Setiu.
Dalam nahas kira-kira pukul 8.40 pagi itu, guru Sekolah Menengah Agama Khairiah itu maut apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang.
Allahyarham Noor Rosniah isteri kepada seorang peniaga, Mohd. Maizuhar Mohd. Nor, 32, turut meninggalkan seorang anak perempuan berusia setahun.
Menurut Rahimah, pemergian anak ketiga daripada lapan beradik itu merupakan kehilangan besar bagi keluarganya dan sehingga kini mereka masih bersedih dengan kehilangannya.
Dia dan suaminya, Sudin Ismail, 64, menerima cek tersebut daripada wakil Etiqa Takaful, Rosli Draman di rumah mereka di Kampung Teluk Ketapang, dekat sini kelmarin.
Rahimah berterima kasih kepada Etiqa Takaful yang menguruskan pemberian cek itu dan akan menggunakan wang itu sebaik mungkin terutamanya untuk anak arwah serta akan mengadakan kenduri doa selamat untuknya.
“Dia pernah berpesan, untuk memberi saya dan suami duit bagi mengerjakan ibadah haji. Harap, dengan duit ini juga hasrat arwah dapat ditunaikan,” katanya.
Sementara itu, Rosli memberitahu, dia dimaklumkan arwah menyertai insurans di Etiqa Takaful melalui anak saudaranya kira-kira dua tahun lalu dan syarikat mendapati arwah layak menerima pampasan insurans kemalangan tersebut.
No comments:
Post a Comment