Tuesday, July 12, 2011

Keracunan Makanan Calar Penganjuran Program Isteri Wakil-Wakil Rakyat

"Penganjuran program besar di masa hadapan perlu mempastikan kejadian keracunan makanan tidak berulang. Jika diketahui pihak yang menyebabkan kejadian berlaku, mereka wajar dikenakan ‘tindakan’ dan tidak dipelawa lagi membekalkan makanan untuk jamuan besar seperti itu pada masa hadapan."


A Rahman melawat Toh Puan Safiah @ Salamah Ahmad Zain isteri kepada bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Ahmad Sidi Ismail yang dirawat di HSNZ, Kuala Terengganu kelmarin.

Analisis Pok Teh Bakap

Kejadian 70 isteri wakil rakyat keracunan makanan memalukan kerajaan negeri Terengganu.

Memang ia tidak dijangka namun kejadian ini mencalarkan program yang mendapat pujian isteri Perdana Menteri, Datik Seri Rosmah Mansor.

Sungguh dikesali kerana pada ketika Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 mendapat pujian kerana kelicinan dan teraturnya penganjuran program berkenaan, kejadian yang dikatakan akibatkan majlis makan malam pada malam akhir program pula mencacatkannya.

Memanglah tidak wajar menyalahkan penganjur tetapi yang bertanggungjawab menyediakan makanan atau yang membekalnya perlu dikenalpasti.

Laporan media bahawa lebih 70 orang isteri wakil rakyat yang terbabit dalam program itu malam Sabtu lalu mengalami keracunan makanan memalukan.

Kejadian mula disedari kira-kira puku1 1 pagi apabila beberapa mangsa mula muntah-muntah dan cirit-birit sebelum mereka dirujuk kepada petugas di klinik statik hotel penginapan iaitu Primula dan Permai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A Rahman Mokhtar memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 17 mangsa terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Bagaimanapun, hanya 15 yang ditahan di wad kerana simpton yang dialami mereka lebih serius namun, keadaan mereka stabil dan tidak membimbangkan,” katanya yang ditemui ketika melawat mangsa di HSNZ kelmarin.

Menurut A. Rahman, punca kejadian masih disiasat namun, beliau tidak menolak ia mungkin berpunca daripada makanan yang dihidangkan dalam satu majlis makan malam sebelum itu.

Menurut Dr A Rahman, kebanyakan mangsa mula muntah, pening dan cirit-birit bermula jam 1 pagi kelmarin dan selepas dirawat keadaan mereka dilaporkan stabil dan tidak membimbangkan.

Ada menyebut kejadian mungkin berpunca daripada hidangan lokan, ketupat sotong dan laksa yang disediakan pada satu majlis makan malam, kelmarin.

Jabatan Kesihatan mengambil sampel makanan tersebut untuk diuji di Jabatan Kimia dan pihaknya kini menunggu laporan ujian.

Sementara itu, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Selangor, Datin Norliah Nohd Nazir ketika ditemui di HSNZ berkata, beliau mula mengalami sakit perut dan muntah selepas pulang dari makan malam.

Menurutnya, akibat tidak tahan dengan keadaan itu dia akhirnya berjumpa doktor di klinik statik yang ada di Hotel Permai Inn, tempat beliau menginap dan diberikan ubat namun keadaan tidak berubah.

“Saya kemudian dihantar ke HSNZ bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menganggap insiden itu sebagai peristiwa tidak dijangka.

Kita berharap hasil ujian diumumkan untuk mengenal pasti pihak yang menyediakan makanan berkenaan.

Tidak pasti sama ada pihak hotel atau restoran yang membekalkan makanan berkenaan bagaimanapun makanan di penginapan seperti di Hotel Primula dan Permai Inn tidak menghadapi masalah itu.

Pengajuran program besar di masa hadapan perlu mempastikan kejadian keracunan makanan tidak berulang.

Jika diketahui pihak yang menyebabkan kejadian berlaku, mereka wajar dikenakan ‘tindakan’ dan tidak dipelawa lagi membekalkan makanan untuk jamuan besar seperti itu pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment