Sunday, July 24, 2011

Insentif Istimewa Untuk Atlet - Kerajaan Terengganu Tidak Lokek

Kerajaan negeri Terengganu menjanjikan insentif istimewa kepada tiga orang atlet kelahiran negeri itu yang akan menyertai Sukan Olimpik di London tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata bagaimanapun perkara itu akan diumumkan sebelum atlet berkenaan iaitu jaguh lumba basikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, Fatihah Mustafa dan atlet memanah Khairu Khairul Anuar.

"Kerajaan negeri tidak lokek untuk beri pengiktirafan kepada atlet kelahiran negeri ini yang berjaya mengharumkan nama negeri dan juga negara," katanya pada majlis penyampaian insentif Kemenangan Sukan Malaysia dan Piala FA serta biasiswa pada kelmarin (21 Julai 2011).

Sebagai bukti, Ahmad berkata kerajaan negeri membelanjakan RM1 juta untuk hadiah kemenangan pasukan bola sepak Terengganu yang berjaya menjuarai Piala FA untuk bercuti di London.

Beliau berkata secara keseluruhan insentif yang diberikan kepada atlet Sukma ialah RM900,000 dan biasiswa kepada pelajar sekolah sukan untuk tahun ini sebanyak RM600,000.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata Terengganu akan terus memperkasakan program sukan di negeri ini untuk terus menjadi kuasa sukan tanah air.

Beliau berkata misi Terengganu tidak pernah berubah, malah untuk Sukan Malaysia yang akan datang, Terengganu sudah mempersiapkan atletnya.

Sementara itu, dua atlet kenu Sukan Malaysia Terengganu, Nurul Farahim Wahab dan Siti Rajiah Ali meraih habuan besar apabila masing-masing mendapat insentif sebanyak RM32,000 dan RM30,000 daripada kerajaan negeri.

Nurul Farahim berjaya merangkul enam pingat emas di mana wang insentif untuk satu pingat berkenaan sebanyak RM5,000 dan RM2,000 lagi kerana berjaya memecah rekod Sukan Malaysia.

Siti Rajiah yang menerima RM30,000 juga berjaya mendapat enam pingat emas dalam sukan berkenaan namun tidak berjaya memecahkan sebarang rekod.

No comments:

Post a Comment