Sunday, July 24, 2011

Konvensyen BN Ajak Pemimpin Menangi Hati Rakyat

Konvensyen Barisan Nasional (BN) Terengganu 2011 sebulat suara mahukan jentera parti memperhebatkan kerja memenangi hati naluri rakyat demi kesinambungan kuasa memerintah Terengganu.

Malah ia juga menuntut agar perpaduan dalam BN terus utuh dan tidak terhakis demi menjayakan usaha itu.

Resolusi turut menuntut pemimpin BN di semua peringkat agar sentiasa siap siaga, cakna rakyat dan mempunyai daya juang, daya saing dan daya tahan yang tinggi serta mampu memenangi hati rakyat.

Resolusi yang bertemakan `BN Di Hatiku- Persediaan Menghadapi PRU 13’ merumuskan 13 resolusi utama berasaskan kluster dan diperincikan lagi melalui beberapa resolusi berfokus, termasuk:

  1. Menginsafi agar perpaduan dalam BN supaya tidak luntur dan terhakis, maka agenda memperkasa perpaduan parti komponen dari segi persepsi dan tindakan wajar diperhebatkan bagi memenangi hati nurani rakyat ke arah kesinambungan kuasa pemerintahan;
  2. Menyedari kepimpinan yang dinamik menjadi tulang kekuatan parti, maka agenda memastikan pemimpin BN di semua peringkat sentiasa siap siaga, cakna rakyat dan mempunyai daya juang, daya saing dan daya tahan yang tinggi serta mampu memenangi hati rakyat;
  3. Menginsafi kemantapan kepimpian menjadi pasak kepada keutuhan parti, maka agenda mempertingkat ketelusan, integriti dan keperibadian mulia dalam kalangan ahli dan pemimpin parti agar menjadi suri teladan bagi memenangi hati rakyat;
  4. Memahami hakikat pembentukan modal insan menjadi teras pembinaan negara pada masa depan, maka agenda merealisasikan institusi bukan sahaja sebagai agen pembangunan sumber manusia, tetapi juga sebagai pemangkin perpaduan;
  5. Menyedari keperluan dalam pasaran pekerjaan semasa yang menjurus kepada kemahiran, maka agenda melebar luas bidang dan jurusan kemahiran teknikal dan vokasional kepada kumpulan pelajar berprestasi rendah perlu dioptimumkan bagi menjana tenaga berkemahiran tinggi; dan,
  6. Menginsafi sektor ekonomi merupakan tonggak kesejahteraan rakyat, maka agenda memapankan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) dilaksanakan secara bersepadu, berfokus, adil, saksama dan bijaksana agar dapat dinikmati bersama golongan berpendapatan rendah.
Resolusi yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sidang Pleno, Kertas Kerja dan Dokumentasi, Haji Zubir Embong itu adalah sebagai intipati utama yang perlu dijadikan asas dan tunjang untuk merangka gerakan dan gagasan ke arah pemerkasaan parti BN.

Resolusi itu tujuan bertujuan memperkukuhkan pentabiran kerajaan bagi menjamin rakyat menyokong kerajaan dan kemenangan PRU 13 dalam genggaman.

Konvensyen dua hari itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

No comments:

Post a Comment