Kesilapan suami laksana syariat bukan alasan ketepi hukum berpoligami.
Isteri yang menolak syariat berpoligami secara mutlak adalah berdosa besar dan perlu segera bertaubat.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut, berkata tindakan bakal isteri atau isteri yang sejak awal dan terang-terangan menolak syariat menuntut bakal suami atau suami tidak berpoligami dengan menandatangani perjanjian juga boleh membawa jatuh hukum murtad.
“Ini dosa besar dan perlu segera bertaubat sebab Allah syariatkan sesuatu mesti ada kebaikan.
“Tindakan itu juga boleh jadi murtad kerana menolak secara total syariat ditetapkan Allah yang menjejaskan kepercayaan kita kepada-Nya dan ketentuan-Nya,” katanya di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Akram Sabri yang berkata, wanita Islam boleh menolak poligami dan tidak berdosa sekali pun Islam menghalalkannya.
Kelmarin, Akram dilaporkan berkata, wanita mempunyai hak menuntut syarat ke atas suami supaya tidak berpoligami.
Bagaimanapun, katanya, penolakan isteri itu tidak mewajibkan suami mematuhinya kecuali jika pasangan sudah menandatangani perjanjian tidak berpoligami.
Ditanya pandangan beliau yang bertentangan dengan Akram, Nooh berkata, persepsi berlainan mungkin disebabkan suasana dan budaya negara berbeza.
“Mungkin suasana negara Arab lain, budaya kita lain, saya tidak kata pendapatnya tidak betul, itu persepsi dia.
“Kita kena melihat ‘nyamuk dengan kelambu’... kalau nyamuk yang silap kenapa kelambu dibakar, mungkin kesilapan suami, bukan syarat poligami itu sendiri sebab sudah jelas dalam al-Quran ia tidak boleh ditolak, namun ia tertakluk kepada syarat tertentu.
“Yang penting, wanita mesti tahu hak, kalau nak tolak poligami jangan sampai jejas secara total kepercayaan kepada Allah,” katanya.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Muhamad ,berkata adalah tidak berdosa seseorang isteri tidak mengizinkan suami berpoligami jika mempunyai alasan kukuh.
“Tapi berdosa sekiranya menolak mentah-mentah hukum Allah,” katanya.
No comments:
Post a Comment