Jabatan Bomba dan Penyelamat akan mengambil pendekatan baru iaitu dengan mengadakan penerangan khas bagi mengelakkan salah faham mengenai jenis potongan rambut ditetapkan untuk setiap pelatih terutama wanita yang ingin menyertai jabatan itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata setiap pelatih wanita akan diberi gambaran dan diberitahu tentang keadaan rambut selepas dipotong bagi memastikan mereka benar-benar faham mengenai syarat jabatan berkenaan.
"Kalau mereka setuju dipotong rambut sehingga 6 mm (daripada kulit kepala) baru kita akan teruskan, tapi kalau tak setuju kita tidak akan paksa tapi mereka tak bolehlah sertai bomba.
"Saya dah dapat laporan siasatan berhubung kes pelatih wanita dibotakkan kepala mereka itu, dan itu memang syarat yang telah ditetapkan semasa latihan, semua harus dipotong sehingga 6 mm," katanya kepada pemberita di Kuala Nerang semalam.
Beliau diminta mengulas hasil siasatan dalaman berhubung kes beberapa pelatih wanita yang dibotakkan kepala mereka ketika mendaftar diri untuk menjalani latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, Terengganu pada awal Mei lepas.
Chor berkata pihaknya sangat memahami situasi pelatih-pelatih terbabit dan memohon maaf di atas kejadian berkenaan, namun katanya ia adalah satu peraturan yang perlu diikuti.
"Bila rekrut baru masuk, memang kena buat macam ni, lagipun bukannya selama-selamanya kena rambut pendek begini, cuma dalam tempoh latihan sahaja," katanya.
Baru-baru ini (24 Jun) Bernama melaporkan seorang bekas pelatih bomba wanita kecewa dengan tindakan akademi berkenaan yang membotakkan kepalanya serta 18 pelatih perempuan lain ketika mereka mendaftar diri untuk menjalani latihan di kem itu 2 Mei lepas.
Hizyaty Othman, 28, dari Taman Berjaya, Jalan Pegawai berkata dia amat terkejut dengan tindakan membotakkan kepala pelatih perempuan, tidak seperti apa yang dinyatakan dalam peraturan kursus yang diterima mereka sebelum melaporkan diri di akademi itu.
No comments:
Post a Comment