Polis menahan seorang bapa yang dipercayai mendera anak kandungnya sehingga mengalami cedera parah dalam kejadian yang berlaku di rumah mereka di Kampung Kubang Tangga, di Kuala Terengganu, Ahad lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan berkata suspek yang berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pemandu di sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan di rumahnya kira-kira pukul 3.45 pagi ini.
Katanya polis turut merampas seutas tali pinggang yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.
"Menurut laporan, mangsa kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dipercayai telah didera oleh bapa kandungnya itu pada Ahad lepas kira-kira pukul 5.45 petang," katanya kepada pemberita di sini Selasa.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan sedang sedang bermain dengan abangnya yang berusia 13 tahun sebelum dipanggil masuk ke rumah dalam keadaan marah oleh suspek dan selang beberapa minit kemudian abangnya terdengar jeritan mangsa memanggil namanya meminta tolong.
Katanya, sejurus setelah mendengar jeritan tersebut, abangnya terus meluru ke dalam rumah dan berlaku sedikit pertengkaran mulut di antara dia dan bapanya.
Ketika kejadian, ibu tiri mangsa yang sedang mengandung sembilan bulan turut berada di dalam rumah tersebut.
Untuk menyelamatkan keadaan, Manoharan berkata abang mangsa telah membawa adiknya itu ke Bukit Besar di sini sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah setelah mendapati adiknya itu mengalami kecederaan teruk.
"Doktor mengesahkan terdapat beberapa kesan bengkak di telinga kiri, bahu kanan dan peha kanan mangsa dan kini dalam keadaan stabil," katanya.
Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Cabang Tiga, di sini pada pukul 10.40 pagi semalam, kata Manoharan.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan abangnya mendakwa sering didera oleh bapa mereka sejak ibu kandung mereka meninggal dunia empat tahun lalu.
Katanya suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
No comments:
Post a Comment