Pemilik bersama T’Kafe D’Muara Live Seafood, Malizan Zakaria kecewa dengan pandangan sesetengah pihak apabila membabitkan restorannya antara punca keracunan 70 isteri Yang Berhormat (YB) baru-baru ini.
Malizan berkata, restorannya hanya menyediakan makan tengah hari pada hari kejadian dan tidak mungkin punca keracunan itu datang daripada pihaknya kerana secara lazimnya, seseorang yang mengalami keracunan, mengalami simpton berkenaan selepas empat hingga lapan jam menikmati makanan.
“Pihak kami juga mempunyai bukti kukuh, menyatakan restoran kami tidak terlibat kerana pada beberapa sampel makanan yang disyaki diambil jabatan kesihatan, keputusan yang diperoleh menunjukkan tiada kaitan dengan masalah keracunan.
“Malah pada 13 Julai sekitar jam 3 petang, saya sendiri mendapat panggilan daripada seorang doktor yang memperkenalkan dirinya sebagai Dr Balkis, memberitahu ujian sampel makanan yang diambil dari restoran saya tidak terlibat dengan kes keracunan,” katanya mengulas berhubung kejadian itu yang memberi impak kepada restorannya.
Menurutnya, walaupun pengesahan itu dibuat oleh pihak berwajib dan pakar dalam menyelesaikan masalah itu, tetapi masih ada segelintir orang ramai mengatakan ia berpunca daripada restorannya.
“Untuk mengelak daripada perkara ini terus merebak dari mulut ke mulut, saya berharap jabatan kesihatan dan pihak berwajib menyelesaikan masalah ini, tampil untuk memberitahu cerita sebenar sekali gus dapat menepis tanggapan yang dilemparkan kepada restoran kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kerana, selepas kejadian itu berlaku, kebanyakan pelanggan yang datang ke restoran tidak berhenti-henti mengajukan soalan sama, seolah-olah pihaknya bersalah.
Bagaimanapun, pihaknya mengakui hidangan lokan ada disediakan untuk menu tengah hari, tetapi itu bukan punca pesakit diserang cirit-birit dan ini telah disahkan sendiri jabatan kesihatan.
No comments:
Post a Comment