Tuesday, July 12, 2011

Keropok Lekor Losong Bakal Diperluas Ke Pasaran Global

Gambar Hiasan - antara kedai keropok lekor di Losong.

Pengusaha keropok lekor Losong, KY Food Industries (M) Sdn Bhd, berhasrat memperluaskan pasarannya ke peringkat global di masa hadapan.

Menurut pemiliknya Sariah Ismail atau lebih dikenali sebagai Kak Yah, 52, beliau yakin dapat merealisasikan impian itu setelah mendapat jemputan menyertai Program Malaysia Kitchen di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di London tidak lama lagi.

Katanya, dalam usaha untuk menembusi ke peringkat global dia mengambil inisiatif mengeluarkan produk keropok lekor sejuk beku bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berada di luar Terengganu.

Menurut Kak Yah, pengiktirafan status sijil halal yang diperoleh daripada Jabatan Agama Islam Terengganu pada tahun 2007 sedikit sebanyak membuka peluang kepadanya untuk meluaskan lagi pasaran keropok lekornya di bawah jenama Kak Yah.

Selain mendapat tempahan daripada hotel terkemuka di Terengganu, syarikat itu juga mempunyai 10 pembekal tetap di Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur, katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Kak Yah juga merupakan pengusaha keropok lekor pertama di Terengganu yang memperoleh sijil halal dan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi pengusaha produk halal daripada kerajaan negeri pada tahun 2008.

KY Food Industries yang ditubuhkan enam tahun lalu merupakan hasil usaha gigih beliau yang bergiat kecil-kecilan dalam perniagaan keropok lekor Losong sejak 22 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment