Thursday, July 14, 2011
Maidam Edar 5,000 Buku Hayati Ramadan
Sempena ketibaan Ramadan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerbitkan buku Fadilat Ramadan bagi meluaskan kefahaman dan kesedaran kepada orang ramai tentang keistimewaan bulan mulia itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Harujan Sulaiman berkata, sebanyak 5,000 naskhah akan diagihkan kepada surau, masjid, sekolah, institusi pengajian tinggi dan perpustakaan awam di seluruh negeri sebelum 1 Ogos ini.
Katanya, buku tulisan Prof. Madya Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Abdul Manan Mohammad Al-Merbawi itu bakal menjadi panduan umum bagi menghayati bulan Ramadan.
"Buku-buku ini akan diedarkan secara percuma bagi membolehkan orang ramai merujuk sekiranya mempunyai persoalan tentang kelebihan bulan Ramadan.
"Saya berharap orang ramai dapat menelaah buku ini sebagai persiapan untuk kita menyambut ketibaan Ramadan agar kedatangannya dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.
Buku setebal 87 muka surat memuatkan penerangan mengenai amalan-amalan sunat, kelebihan, perkara-perkara yang dilarang serta dalil-dalil tentang kewajipan berpuasa.
Dalam pada itu, Wan Harujan berkata, sejak 2008 sehingga kini, sebanyak 109,000 naskhah buku telah dicetak merangkumi 71 tajuk berkaitan pelbagai permasalahan dalam agama Islam.
Jelasnya, Maidam berperanan menyediakan bahan-bahan ilmiah kepada masyarakat dalam usaha meningkatkan ilmu pengetahuan mereka terhadap agama Islam dari semasa ke semasa.
"Penerbitan buku yang bersesuaian merupakan salah satu tanggungjawab Maidam yang perlu dilaksanakan untuk menyebarkan agama Islam kepada orang ramai tidak kira waktu dan tempat.
"Selain itu, kita juga memberi peluang kepada penulis-penulis di luar sana untuk berkongsi ilmu yang mereka miliki bagi membentuk budaya menulis dan membaca dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur," jelasnya.
No comments:
Post a Comment