Friday, July 15, 2011

YPU Luaskan Pasaran Produk Usahawan Terengganu

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sedang mengambil langkah untuk membantu meluaskan pemasaran produk keluaran para usahawan di negeri ini.

Timbalan Pengurus Besar YPU A Razak Sulaiman berkata, sehubungan itu, YPU akan membuka pusat pengumpulan dan pengedaran produk pengguna di Bukit Kor, Marang mulai esok.

"Kita telah bangunkan pusat pengumpulan dan pengedaran ini untuk mengumpul dan mengedarkan produk usahawan di negeri ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata anak syarikat YPU -- Cakna Sdn Bhd telah diamanah dan diberikan tanggung jawab untuk mengurus dan mengendalikan pusat pengumpulan dan pengedaran itu.

Katanya kesemua produk, baik yang dihasilkan oleh usahawan perseorangan atau produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), akan diedar melalui rangkaian kedai T'Shop di seluruh negeri.

Beliau berkata Cosmopal Sdn Bhd yang mengeluarkan barangan berasaskan kulit kambing adalah salah satu daripada usahawan yang akan dibantu oleh YPU.

Selain itu, Cosmopal juga mengeluarkan susu kambing segar, daging kambing beku dan kari daging kambing yang sudah ditinkan, katanya.

A Razak berkata YPU berminat untuk membantu Cosmopal kerana produk yang dikeluarkannya lain dari yang lain serta kesungguhan yang ditunjukkan pengurusannya dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata pada peringkat awal ini, YPU akan mengedarkan barang-barang tersebut di negeri Terengganu sebelum diperluaskan keseluruh negara.

No comments:

Post a Comment