Jika sebelum ini wang banyak dihabiskan untuk membaiki enjin lama dan kerap pula tidak dapat turun ke laut, kini tiga nelayan Kemasik, di Kemaman boleh menarik nafas lega.
Mereka bersyukur dan berterima kasih kerana menerima bantuan enjin bot baru bernilai RM8,000 setiap seunit sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Lebih bermakna, bantuan itu yang diperoleh menjelang bulan puasa dapat membantu mereka berusaha menambah pendapatan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
Abd. Rahim Omar, 61, memberitahu, enjin yang digunakannya sekarang selalu rosak kerana sudah berusia 42 tahun dan dia memang mengharapkan dapat memiliki enjin baru.
"Dengan pendapatan saya sekitar RM600, kos baiki enjin hampir RM900 lebih besar daripada apa yang saya peroleh," kata bapa kepada enam orang anak itu.
Abdul Rahim menyatakan demikian selepas menerima sumbangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman di Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik (Zon Kemasik), kelmarin.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Rosli Othman.
Dua lagi penerima bantuan enjin bot itu ialah Abd. Ghani Abu Bakar, 47, dan Sabri Ibrahim, 46.
Sementara itu, Rosli berkata, bantuan itu adalah salah satu usaha kerajaan membantu meringankan bebanan mereka.
"Mereka benar-benar berusaha dan sudah beberapa kali datang berjumpa saya, malah mereka turut berusaha memohon pinjaman melalui beberapa bank," ujarnya.
No comments:
Post a Comment