Thursday, July 14, 2011

Nelayan wajar ada kawasan khas elak ditahan PolAir

Oleh Komiti nelayan Malaysia (Kuala Lumpur)

Cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan supaya diwujudkan kawasan berkecuali bagi nelayan di Selat Melaka wajar dibincangkan pada peringkat nasional.

Ia ditimbulkan berikutan kejadian sekumpulan nelayan dari Johor ditahan Polis Air (PolAir) Indonesia berhampiran pantai Senggarang, Tampok, Pontian Besar, pada pada 9 Mac lalu atas dakwaan kononnya menceroboh perairan republik itu.

Dalam kejadian itu, bot dikendalikan tekong dan awak-awak rakyat Malaysia berada pada kedudukan 12.5 batu nautika dari pantai Senggarang. Mereka ditahan kerana dikatakan menceroboh perairan Indonesia sedangkan kedua-dua bot berkenaan masih berada dalam perairan Malaysia berdasarkan bacaan alat Global Positioning System (GPS).

Kedudukan ini disahkan oleh empat anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kukup yang berkejar ke tempat kejadian untuk membebaskan nelayan terbabit.

Masalah sempadan perairan di Selat Melaka sebenarnya ditimbulkan oleh Indonesia sendiri apabila mereka cuba menguatkuasakan kawasan perikanan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sejauh 200 batu nautika dan mewartakan undang-undang yang tidak pernah disepakati dengan negara ini walaupun ia membabitkan pertindihan kawasan sempadan. Malaysia juga berhak mengisytiharkan Zon Ekonomi Eksklusif yang sama sejauh 200 batu nautika dari pantai negara.

Penetapan ZEE secara satu pihak oleh Indonesia ini membuatkan sebahagian kawasan barat perairan negara ini di bahagian utara Selat Melaka iaitu dari utara Selangor hingga Kedah, dianggap sebagai wilayah laut mereka sedangkan mereka lupa bahawa penetapan sempadan oleh Malaysia di utara Selat Melaka adalah berdasarkan kepada kedudukan Pulau Sembilan dan Pulau Perak yang terletak di tengah Selat Melaka.

Pasukan keselamatan Indonesia juga sering mengganggu bot nelayan dari Terengganu dan Pahang yang beroperasi di Laut China Selatan.

Ini kerana Indonesia menuntut ZEE pada jarak 200 batu dari kepulauan Anambas dan Natuna, iaitu wilayah milik Indonesia di Laut China Selatan walaupun dipersetujui pada 1969 bahawa sempadan laut adalah antara Pulau Tioman dan Pulau Jemaja (Anambas).


Berita Harian

No comments:

Post a Comment