Friday, July 8, 2011

Pemandu Lori Ditahan Selepas Ragut Dua Kakitangan IPTA

Seorang pemandu lori ditahan selepas meragut dua kakitangan wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kuala Terengganu, kelmarin

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang di Lorong Gemia, Panji Alam itu, kedua-dua mangsa dilaporkan sedang menunggang sebuah motosikal sebelum datang motosikal yang dinaiki suspek dari arah belakang yang menghimpit mereka.

Beliau berkata suspek yang berusia 22 tahun dan dipercayai pernah terlibat dengan tiga kes ragut sebelum ini kemudian cuba meragut beg mangsa.

"Mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian menarik balik begnya menyebabkan berlaku insiden tarik menarik sebelum kedua-dua mangsa dan suspek terjatuh," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Kedua-dua mangsa yang terjatuh ke dalam longkang yang berhampiran mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki serta tangan dan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ).

"Suspek terus melarikan diri dan dikejar oleh orang awam yang menyedari kejadian itu, lalu menyorok di belakang bangunan Jabatan Perangkaan di Jalan Pasir Panjang, namun berjaya dikesan dan ditahan oleh polis," katanya.

Manoharan berkata dengan tertangkapnya suspek yang berasal dari Losong Masjid di sini, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes berkaitan ragut dan samun di jalanan di sekitar bandar raya ini.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana cuba menyamun dan menyebabkan kecederaan.

No comments:

Post a Comment