Friday, July 8, 2011

Perpustakaan Terengganu Perkenal Alat Pengesan Rak Buku

Pengguna Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) kini boleh mencari buku dikehendaki di rak hanya dalam tempoh 30 saat, menggunakan alat pengesan rak buku.

Pengarah PPAT Nor Akmal Abdul Fatah berkata untuk menggunakan alat itu, pengguna hanya perlu menaip tajuk buku dikehendaki pada komputer yang disediakan di perpustakaan sebelum maklumat mengenai kedudukan buku itu dipaparkan dan secara automatik lampu di rak buku terbabit menyala.

“Kita telah mula menggunakan alat pengesan rak buku pada awal tahun ini dan mendapat maklum balas yang amat menggalakkan daripada pengguna bahkan terdapat juga permintaan dari perpustakaan luar Terengganu untuk berkongsi idea,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Nor Akmal berkata alat pengesan rak buku pertama seumpamanya itu adalah hasil petugas PPAT sendiri yang mahu melihat pembaharuan dalam kualiti perkhidmatan demi kemudahan pengguna.

Pengunaan alat itu juga menjadikan buku-buku di rak lebih tersusun rapi, kemas dan berada dalam susunan lebih sistematik dan PPAT bercadang menyelaraskan penggunaannya di seluruh perpustakaan daerah di Terengganu.

Nor Akmal berkata alat pengesan rak buku ini telah memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Pengiktirafan Persekitaran Berkualiti 5S pada 27 Jun lalu dan Anugerah Khas Juri MPC Utara iaitu kategori Kumpulan Paling Kreatif sempena Konvensyen ICC Perpustakaan Se-Malaysia kali ketiga pada 11 Jun lalu.

No comments:

Post a Comment