Isteri wakil rakyat perlu menjaga kecergasan fizikal bagi memastikan mereka berkeupayaan mengiringi suami menjayakan pelbagai program untuk rakyat selain melaksanakan program sendiri.
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata sebagai isteri kepada wakil rakyat, mereka memainkan peranan penting khususnya dalam memberi sokongan kepada tanggungjawab si suami.
“Sehubungan itu, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan resepi peribadi dalam kehidupan kita seharian. Individu yang sihat mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogannya iaitu ‘Rakyat Sihat, Negara Sejahtera’,” katanya.
Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Tahunan Isteri-isteri Wakil Rakyat, di Kuala Terengganu, semalam.
Perasmian dilakukan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said. Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu Toh Puan Seri Norliza Mamud.
Rosmah berkata kegagalan isteri memainkan peranan di samping suami boleh meninggalkan kesan negatif khususnya terhadap imej suami sebagai wakil rakyat.
“Hendak atau tidak, suka atau tidak suka, sebagai seorang isteri wakil rakyat, para suri haruslah pandai memainkan peranan masing-masing selaras dengan keperluan masyarakat setempat apatah lagi dengan pilihan raya yang sudah hampir tiba,” katanya.
Beliau juga mahu isteri wakil rakyat membuka minda dan mendekati rakyat seperti yang dilakukan suami masing-masing.
“Rajin-rajin ikut suami balik ke kawasan, jenguk-jenguklah rakyat jelata dan teruskanlah khidmat bakti di tempat masing-masing melalui pelbagai aktiviti berorientasikan rakyat, dengan itu insyaAllah peranan kita akan dianggap relevan,” katanya.
Pada program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, sebanyak 14 kontinjen dengan 478 peserta mengambil bahagian.
Mengulas program itu, Rosmah berkata ia diharap dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan pada kalangan isteri wakil rakyat Barisan Nasional dari seluruh negara.
“Fokus pertemuan kita dalam program ini bukan sekadar untuk bersukan tetapi fokus utamanya adalah sebagai wadah bagi mewujudkan persefahaman, perpaduan dan semangat muhibah di kalangan isteri wakil rakyat,” katanya
No comments:
Post a Comment