Program yang dapat menghindari golongan belia daripada terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah pada waktu malam.
Suatu ketika dulu, tidak banyak perkara yang boleh dikaitkan dengan peranan basikal melainkan sekadar memenuhi keperluan pelajar ke sekolah berdekatan atau sebagai alat permainan kanak-kanak.
Namun basikal yang semakin hilang kepentingan sebagai alat pengangkutan kini kembali dengan tarikan lebih besar sebagai alat sukan, rekreasi dan kecergasan seiring dengan perkembangan masa dan perubahan corak kehidupan.
Basikal kini muncul dengan pelbagai reka bentuk, corak dan kegunaannya dengan harga ratusan dan hingga mencecah puluhan ribu ringgit manakala penggemarnya adalah daripada pelbagai peringkat usia.
Di negeri ini, kemunculan beberapa anak Terengganu seperti Azizul Hasni Awang dan Anuar Manan yang mencipta nama di peringkat antarabangsa dan penubuhan Terengganu Pro-Asia Cycling Team oleh kerajaan negeri membantu menyemarakkan aktiviti berbasikal.
Pelbagai program bercorak rekreasi dan sukan diadakan termasuk oleh Kelab Remaja Terengganu (KRT) dengan kerjasama Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) yang menganjurkan program Kayuhan Malam Amal, baru- baru ini.
Ia mendapat sambutan begitu hangat dengan lebih 600 pengayuh basikal meluangkan masa kira-kira tiga jam bermula pukul 9 malam bagi bersama mengayuh sejauh 20 kilometer yang bermula dan berakhir di Taman Awam Batu Buruk dekat Kuala Terengganu.
Pengerusi KRT, Saiful Bahri Baharudin berkata, program itu antara lain bertujuan menghimpunkan para peminat basikal untuk berinteraksi sesama mereka di samping membantu meringankan beban pihak yang memerlukan.
Katanya, pada program kayuhan malam itu, peserta hanya memerlukan sebuah basikal yang dilengkapi lampu depan dan belakang, topi keledar serta baju - T, makanan ringan dan minuman tenaga yang dibekalkan penganjur.
Perasmian program itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw dan Pengerusi Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Datuk Ahmad Sidi Ismail.
Tambah Saiful Bahri, hasrat KRT untuk menyelami minat orang muda dilihat berhasil kerana daripada program itu, mereka sanggup berbelanja lebih untuk basikal mereka serta memberi sumbangan kepada tabung yang pihak penganjur wujudkan.
Pada program itu katanya, sejumlah RM3,511 berjaya dikutip daripada peserta dan ia diserahkan kepada Jawatankuasa Perkampungan Taman Rahmat, Marang dan Pusat Harian Kanak-Kanak Istimewa Batu Buruk.
Sementara itu Ahmad Sidi berkata, program julung kali diadakan itu sedikit sebanyak membantu mempromosi budaya baru orang Terengganu yang beriadah dengan cara sihat dan selamat kerana ia tidak melibatkan cuaca yang panas terik.
Katanya, selain menyihatkan badan dan tidak mencemarkan alam sekitar, berbasikal dapat mengelakkan golongan muda daripada terjebak dalam aktiviti tidak berfaedah seperti merempit dan lumba haram.
“Jika dahulu ada di kalangan kita sanggup melepak berjam-jam di warung dan kedai kopi, sekarang penunggang basikal hanya singgah sekejap untuk menghilangkan penat selepas berkayuh.
“Selain itu, peluang berkumpul dengan kenalan baru daripada pelbagai latar belakang membuka ruang untuk berkongsi minat sesama mereka,” katanya.
Bagi yang baru menceburi sukan ini katanya, mereka tidak harus terpengaruh dengan iklan atau sikap rakan yang sanggup membelanjakan wang beribu-ribu ringgit untuk sebuah basikal.
“Sebagai permulaan, mereka hanya perlu berbelanja sekitar RM1,000 untuk sebuah basikal yang baik dan boleh ditambah spesifikasinya,” jelas beliau.
Menurutnya, sebelum membeli sebuah basikal seseorang perlu mengetahui spesifikasi, kategori kayuhan dan penggunaannya sama ada untuk senaman atau pertandingan
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment