Thursday, July 14, 2011

Terengganu Tarik Pelabur Ternak Udang

Kerajaan Terengganu sedang menimbang permohonan beberapa pelabur yang berminat untuk melabur dalam bidang ternakan udang di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris, berkata sehingga ini, sekurang-kurangnya enam pelabur dari luar Terengganu memohon berbuat demikian.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang membuat penilaian dan melihat setakat mana kesungguhan pelabur berkenaan untuk melabur di negeri ini.

“Kerajaan negeri memang mengalu-alukan pelabur yang ingin mengusahakan ternakan udang di negeri ini kerana ia boleh memberi pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri perlu berhati-hati dan tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

Menurut beliau, setakat ini sebuah syarikat telah dibenarkan menternak udang di Kampung Nyatuh, Setiu, yang melibatkan kawasan seluas 1,000 hektar.

Katanya, syarikat itu sekarang ini sedang di dalam peringkat melatih pekerja dan ia dijangka memulakan operasi September depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri meminta pelabur berkenaan supaya mengenal pasti kawasan ternakan yang mereka berminat mengusahakannya.

“Terengganu mungkin akan menjadi pengeluar udang terbesar sekiranya semua permohonan itu diluluskan,” ujar beliau.

Sebelum ini Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata Terengganu bakal menjadi pengeluar udang terbesar di Malaysia apabila projek ternakan udang membabitkan kawasan seluas 1,000 hektar di Kampung Nyatoh, Setiu dapat dipasarkan kelak.

Katanya, buat permulaan sebanyak 216 kolam membabitkan kawasan seluas 400 hektar akan diusahakan dalam tempoh terdekat, sebelum semua kolam terbabit beroperasi sepenuhnya.

Katanya, projek yang bakal mengubah ekonomi negeri dan memberi pendapatan kepada peserta itu berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kerja –kerja terakhir menyiapkan kolam termasuk memasang kanvas khas sedang giat dijalankan oleh kontraktor dilantik. Oleh itu, pihak kami yakin, udang peringkat pertama boleh dilepaskan pada September ini.

“Udang yang diternak itu boleh mencapai tempoh matang selama empat bulan sebelum dapat dipasarkan secara meluas termasuk ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kolam ternakan udang di kampung itu, baru-baru ini.

Menurutnya, lebih 1,500 peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada penduduk tempatan terutama di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) apabila siap sepenuhnya kelak.

“Melalui projek ini, sudah tentu memberi manfaat kepada penduduk untuk menikmati kehidupan lebih selesa,” katanya.

No comments:

Post a Comment