Sunday, July 10, 2011

Program Tahunan Isteri Wakil Rakyat Pupuk Persefahaman - Rosmah

Penganjuran Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) berjaya membentuk persefahaman dan memupuk semangat mesra di kalangan anggotanya, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata isteri wakil rakyat BN di bawah kerajaan pembangkang juga sanggup menyertai aktiviti PTIWRBNM dalam acara badminton, boling dan persembahan kebudayaan, selain mempamerkan semangat mereka yang tidak pernah luntur.

"Apa yang saya dapat lihat, sejak dua tahun lalu, prestasi PTIWRBNM telah meningkat dari setahun ke setahun, bukan sahaja dari tahap permainan peserta, malahan penganjuran juga bertambah baik," katanya ketika berucap pada 'Malam Sentuhan Songket' yang menandakan penutup PTIWRBNM 2011 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, malam semalam.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Rosmah yang merupakan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) berkata, kejohanan tiga hari itu bukan sahaja berlangsung dalam semangat kesukanan malah dipenuhi semangat kekeluargaan.

"Justeru, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua kontinjen yang bertanding kerana telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi semasa bersaing merebut kejuaraan," katanya.

No comments:

Post a Comment