Gambar Hiasan - Sebuah keluarga beramah-mesra sempena sambutan Hari Bapa di Penjara Marang, Marang, baru-baru ini.
Jabatan Penjara Malaysia (JPM) mengadakan Program Mesej dari Penjara peringkat zon timur di Penjara Marang Selasa sebagai langkah membantu bekas banduan kembali ke pangkuan masyarakat.
Menurut Komisioner Penjara, Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan, program itu merupakan inisiatif yang diambil oleh JPM untuk mendekatkan masyarakat dan memberi kefahaman tentang fungsi jabatan itu selaku institusi koreksional utama negara.
"Kita harap agar pendekatan yang diambil ini akan membantu bekas penghuni penjara kembali ke pangkuan masyarakat," katanya kepada pemberita di Marang, kelmarin.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah di Penjara Marang.
Alzafry Mohamed Alnassif berkata menerusi program itu, banduan diajar tentang disiplin, berusaha keras dan mengikuti program pemulihan untuk memberi mesej bahawa mereka boleh berubah dan menjadi seorang yang berguna.
Banduan juga akan mengikuti program pemulihan yang dilaksanakan di luar tembok penjara seperti di Pusat Kehadiran Wajib, Pelepasan Secara Berlesen dan Program Perkhidmatan Pemasyarakatan agar tekad dan azam mereka untuk kembali kepada masyarakat dapat dilihat.
"Saya lihat program ini sangat penting kerana ia merupakan medan untuk kita mengupas betapa pentingnya penglibatan masyarakat dalam membantu golongan tersasar ini kembali ke landasan yang betul apabila dibebaskan kelak.
"Justeru itu, tema yang dipilih "Memasyarakatkan Penjara" amat bertepatan dengan usaha kita untuk mengawal kadar jenayah dalam negara," katanya.
No comments:
Post a Comment