Friday, July 29, 2011

Penyertaan Lima Pelumba Jetski Di Amerika Syarikat Bergantung Kepada Tajaan

Meskipun berdepan masalah kewangan, Kelab Sukan Kraft Air (KSKA) berazam untuk menghantar lima pelumba negara ke kejohanan jetski Quakysense World Finals di Lake Havasu City, Arizona, Amerika Syarikat bermula 1 Oktober nanti.

"Kami sedang berusaha mendapatkan bantuan kewangan dan tajaan daripada kerajaan dan swasta untuk menampung perbelanjaan penyertaan menghantar pelumba, pegawai dan krew teknikal yang dianggarkan menelan belanja RM300,000.

"Jumlah ini termasuk bayaran yuran pendaftaran, sewa jetski, tiket penerbangan, penginapan, elaun dan kelengkapan perlumbaan dan sebagainya," kata pengarah perhubungan awam kelab, Raja Aris Dzulkifli kepada Bernama kelmarin.

Katanya penyertaan pasukan 1Malaysia Jetracing Team amat bermakna kerana ia memberi pendedahan berguna kepada pelumba negara.

"Penyertaan pasukan negara bertujuan menempatkan nama Malaysia di arena antarabangsa dalam sukan air lasak dan bermotor dan kejohanan berskala besar ini memberi peluang kepada pelumba Malaysia bersaing dengan pelumba bertaraf dunia dan menimba pengalaman daripada mereka," katanya.

Mohd Nur Azahari Ahmad Baddri, 28, dari pasukan X1 Jetracing Team akan menyertai kategori Amateur Runabout 800 Open manakala Ahmad Dawi Alias, 45, dari Club Terengganu Marina Racing Team (CTM Racing) akan menyertai kategori Novice Runabout 1800 Stock.

Peserta wanita, Katherine Kong, 35, dari pasukan LT-Kawasaki Racing Team akan menyertai Women Runabout 1800 Limited sementara pasangan adik beradik, Nur Shahida Mohamad Noor, 20, dan Mohamad Faez Mohamad Noor, 17, juga dari pasukan CTM Racing masing-masing akan menyertai kategori Stock Class Wanita dan Stock Class Lelaki.

Presiden KSKA, Raja Putra Shah Raja Shahar Shah, berkata Malaysia telahpun terlepas peluang menyertai kejohanan itu tahun lalu akibat kerana KSKA tidak mendapat sokongan dan tajaan mencukupi selain menghadapi masalah mendapatkan visa.

Raja Putra Shah, yang juga ketua kontinjen ke kejohnan di Lake Havasu nanti, berkata kejohanan tahunan itu yang diadakan buat kali ke-30 tahun ini adalah acara kemuncak dalam kalendar bagi The International Jet Sports Boating Association (IJSBA), sebuah pertubuhan yang diiktiraf untuk perlumbaan sukan air itu.

Ia mempunyai ahli dari lebih 50 negara dan beroperasi di Amerika Syarikat. KSKA adalah ahli bersekutu badan dunia itu.

Seramai 500 peserta dari Amerika Syarikat dan 30 dari negara lain telah mengesahkan menyertai kejohanan di Lake Havasu itu.

No comments:

Post a Comment