Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan akuakultur bagi merealisikan objektif sasaran pengeluaran ikan negara kepada dua juta tan metrik setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Terengganu, Sha'ari Idris berkata sasaran itu termasuklah mengekalkan sumbangan perikanan laut pantai sebanyak 900,000 tan metrik, akualkultur sebanyak 600,000 tan metrik dan laut dalam 500,000 tan metrik.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan telah merangka beberapa program bagi memajukan sektor itu.
Beliau berkata antara program yang dirangka bagi memajukan sektor itu termasuklah khidmat pengembangan teknologi akuakultur, pembangunan industri perikanan kepada nelayan dan galakan pemindahan teknologi.
"Langkah itu diambil bertujuan untuk menjadikan penternak dan usahawan akuakultur mendapat pendapatan minimum bersih RM3,000 sebulan," katanya pada majlis perasmian Seminar Pementapan Akuakultur Pertubuhan Peladang 2011 di Setiu, kelmarin.
Menurut Asha'ari, daerah Besut dan Setiu merupakan antara kawasan paling ramai golongan penternak yang terlibat dengan akuakultur di Terengganu dengan jumlah penternak akuakultur di seluruh negeri adalah seramai 1,592 orang yang melibatkan hampir 10,000 buah sangkar ikan dan udang.
Katanya Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah membelanjakan sebanyak RM1.4 juta dalam bidang akuakultur sejak tahun 2006 hingga 2011 di mana antara projek yang dijalankan ialah pembenihan ikan marin dan penetasan dan asuhan ikan.
No comments:
Post a Comment