Wednesday, July 20, 2011

Sekolah Di Pedalaman Sertai Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan


Program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) Sekolah-Sekolah Terengganu 2011 di sini pada Isnin diperluaskan lagi dengan pembabitan sekolah dari kawasan pulau dan orang asli di Terengganu.

Anggota Lembaga Pemegang Amanah YDSM Datuk Prof Emeritus Dr Abdul Rahman Embong berkata pihaknya percaya perhatian khusus kepada pelajar yang sederhana dan rendah pencapaian serta penglibatan semua sekolah termasuk di pedalaman dan pulau dapat menyuntik minat dan semangat belajar bahasa Inggeris.

Katanya program yang diadakan itu bermatlamat untuk merangsang minat murid dan pelajar agar berusaha meningkatkan kemahiran dan kecekapan berbahasa Inggeris.

"Acara tahun ini lebih meriah kerana penyertaan telah diperluaskan mencakupi semua sekolah termasuk sekolah di pulau dan dua buah sekolah orang Asli, selain disertai oleh sekolah elit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup program itu yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Program itu diadakan dalam dua bentuk pertandingan iaitu Smart English bagi murid sekolah rendah dan Speech Choir Kumpulan Aspirasi dan Inspirasi bagi pelajar Sekolah Menengah.


Bagi kategori Smart English Sekolah Kebangsaan Gong Kapas di Kuala Terengganu muncul johan dan memenangi hadiah wang tunai, sijil, medal, piala pusingan dan piala iringan.

Bagi kategori Speech Choir Kumpulan Aspirasi pula johan dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud 2 Besut dengan membawa pulang hadiah wang tunai, sijil, medal, piala pusingan dan piala iringan.

Sekolah Menengah Tengku Mahmud Besut pula memenangi tempat pertama pertandingan kategori Speech Choir Kumpulan Inspirasi.

No comments:

Post a Comment