Wednesday, July 20, 2011

YPKT Sedia Beri Pinjaman Kepada Pelatih Mulakan Perniagaan

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bersedia memberi pinjaman kepada pelatih jahitan yayasan itu yang berminat memulakan perniagaan.

Pengarahnya, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata mengikut rekod, setakat ini, seramai 64 pelatih membuat pinjaman dengan YPKT, melibatkan peruntukan sebanyak RM224,000 untuk memulakan perniagaan dalam bidang jahitan.

"YPKT telah berjaya melahirkan seramai hampir 9,000 orang tukang jahit yang mahir melalui kursus jahitan yang dianjurkan oleh yayasan itu sejak tahun 2005 hingga 2011," katanya pada majlis penyampaian sijil tamat latihan sesi 1/2011 di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata bagi tahun ini, seramai 1,300 peserta sedang mengikuti latihan di negeri itu.

Mohd Shafaruddin juga berkata kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM700,000 setiap tahun untuk mengendalikan kursus tersebut.

"Jahitan merupakan satu industi yang boleh memberikan pulangan yang lumayan, sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan konsisten," katanya.

Pada majlis itu, seramai 600 pelatih menerima sijil masing-masing.

No comments:

Post a Comment