Friday, July 29, 2011

YPU Dilantik Konsultan Program Tranformasi Pemodenan Bengkel Automotif

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) telah dilantik sebagai konsultan bagi program tranformasi permodenan bengkel automotif (ATOM) di negeri itu.

Pengurus Besar YPU Azmi Razik berkata ATOM bertujuan untuk memperbaiki pengusaha bengkel yang selama ini nampak tidak terurus dan ceria supaya menjadi usahawan yang berjaya.

“Jadi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah melantik YPU untuk menguruskan hal ini,” katanya kepada Bernama.

Azmi berkata YPU akan memberikan tumpuan kepada bengkel-bengkel yang tidak terurus, yang tidak menggambarkan keinginan untuk mereka tidak berdaya maju.

Beliau berkata oleh kerana itu usaha-usaha sedang dibuat untuk menaik taraf pengusaha berkenaan dengan harapan pengusaha itu akan mempertingkatkan diri dari segi pendapatan.

Untuk menaikkan taraf, pengusaha bengkal perlu mempunyai persediaan peralatan yang selama ini kadang kala tidak mencukupi bagi memenuhi ciri-ciri kepenggunaan, katanya.

Azmi berkata pengusaha bengkel boleh meminjam sehingga RM100,000 selama 15 tahun di bawah program ini dan projek ini akan berjalan sehingga tahun 2020.

“Dengan pinjaman ini kita harap dapat melahirkan usahawan automotif berdaya maju,” katanya.

Beliau berkata YPU sekarang ini sedang membuat tinjauan ke bengkel-bengkel yang didapati tidak terurus untuk memberi penerangan mengenai projek itu kepada pengusaha.

Sasaran YPU ialah 14 buah bengkel untuk dibaik pulih tahun ini, katanya.

No comments:

Post a Comment